SKUAD Kuching City FC meraih tiga mata berharga pada aksi sulung Liga Premier musim ini apabila menewaskan Kelantan FC 2-1 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Kedua-dua pasukan bermula baik dengan menyaksikan asakan-asakan ke pintu gol lawan dalam usaha membuka jaringan.

Bagaimanapun, Kuching City FC akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi pemain import Abu Kamara.

Tersentak dengan gol itu, kesebelasan The Red Warriors (TRW), mula bangkit dalam usaha menjaringkan gol penyamaan dan usaha mereka berjaya apabila pemain, Muhammad Yusi Yuhasmadi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31.

Kedua-dua pasukan kemudiannya mula menggandakan asakan pada separuh masa kedua dalam usaha menambah jaringan.

Pada minit ke-67, Shafizi Iqmal Md Khirudin muncul wira skuad Kuching City FC apabila menjaringkan gol kedua sekali gus memastikan kemenangan kelab berkenaan pada aksi sulung Liga Premier musim ini.

*Artikel asal di Sinar Harian