SASARAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk skuad Harimau Malaya berada dalam kelompok terbaik Asia sebagai satu langkah yang berani.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar juga menyifatkan sasaran tersebut bukan main-main, sebaliknya Hamidin serius untuk melaksanakannya.

Malah, beliau berkata, presiden FAM itu mengambil tanggungjawab untuk meletakkan arena bola sepak negara pada satu aras tertentu yang perlu digapai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sebagai presiden patut letak satu sasaran dan ingin tunjukkan kepada peminat. Sesuai dengan kredibiliti beliau. Sasaran itu bukan suka-suka.

“Beliau ambil tanggungjawab (tepati sasaran) dan ingin pastikan bola sepak sentiasa mendapat tempat di hati peminat Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menjadi penanda aras baharu kepada kelangsungan pencapaian skuad bola sepak negara.

Hamidin menyifatkan cabaran baharu buat Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon itu sejajar sasaran Fasa Kedua Peta Hala Tuju F:30 2023-2026 menakluki Asia Tenggara dan menjadi pencabar di Asia.

Dalam pada itu, Azlan juga melihat langkah ke hadapan tersebut sebagai strategi pemasaran berkesan untuk menarik lebih ramai rakan strategik bersama dengan badan induk bola sepak negara.

“Ini adalah strategi pemasaran yang baik dari FAM untuk menarik lebih banyak penajaan. Meskipun berdepan cabaran ekonomi, penaja berkualiti mampu bersama FAM untuk memajukan bola sepak negara,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, bagi merealisasikan impian tersebut FAM memerlukan sokongan semua pihak dan yang pasti para peminat bersama dengan mereka.

Malah, tambahnya, skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sudah menunjukkan satu prestasi yang mengagumkan dan berupaya melangkah jauh.

“Peminat mahu melihat pasukan kebangsaan mencapai satu tahap yang gemilang. Jangan risau ekor harimau akan bersama skuad membanjiri stadium.

“Langkah naturalisasi juga menjadi dan Pan-gon dapat membentuk pasukan yang mantap hasil gabungan dengan pemain tempatan sertai warisan,” jelasnya. - Sinar Harian