KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Kim Pan Gon meletakkan sasaran tinggi ke atas Harimau Malaya apabila beliau menekankan tidak menerima selain keputusan 'menang' dalam perlawanan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan, esok.

Kemenangan di Stadium Perbandaran Taipei, venue perlawanan esok, akan mencerahkan peluang untuk Malaysia menempah tempat pada pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia, setelah menang 4-3 ke atas pasukan ke-97 dunia Kyrgyzstan di Stadium Bukit Jalil Khamis lepas.

"Selepas keputusan yang baik di laman sendiri, perlawanan ini adalah yang paling penting bagi kami, walaupun ia datang dengan beberapa tekanan positif. Kita tahu Taiwan meraih keputusan yang baik baru-baru ini, pasukan ini telah bertambah baik di bawah jurulatih baharu (Gary White) dan sangat kuat di laman sendiri.

"Kami menghormati sepenuhnya pasukan dan rekod sebelum ini, namun kami juga perlu mencipta sejarah baharu. Kami akan bermain dengan rasa hormat (kepada lawan) untuk meraih kemenangan buat Malaysia...esok akan menjadi pertarungan besar bagi kami untuk mendapatkan tiga mata, namun kami tidak akan berundur," katanya pada sidang media praperlawanan di Taipei hari ini.

Keyakinan Pan Gon itu disokong oleh maklumat mengenai pasukan Taiwan yang diperolehi jurulatih analisis prestasi Lim Jaehun.

"Beliau (Jaehun) telah memberi kami banyak maklumat, seperti beberapa pemain naturalisasi, beberapa pemain bermain di China dan beberapa pemain sangat berpengalaman. Daripada pengamatan saya sebelum ini, pemain Taiwan sentiasa berdisiplin, bekerja keras, mantap dan mempunyai fizikal yang baik serta pelari yang bagus," katanya dan berharap anak buahnya dapat mengekalkan rekod bersih selepas meledak 10 gol dalam lima perlawanan sebelum ini.

Sementara itu, pemain pertahanan negara Dion Cools berkata keinginan pasukan untuk meraih kemenangan esok lebih besar daripada tekanan yang dirasai dan beliau yakin mereka mampu memberikan tiga mata didambakan Pan Gon.

"Sebanyak enam perlawanan (dalam kelayakan), kami menang perlawanan pertama dan perlawanan seterusnya kami perlu ambil serius. Ia peluang yang baik untuk kami, kami tahu ia perlawanan yang sukar esok, kami percaya skuad ini boleh mencapai sesuatu," katanya.

Bagaimanapun, sejarah tidak menyebelahi Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-137 dunia.

Pasukan negara tewas dua daripada tiga pertemuan menentang Taiwan (ke-152) sebelum ini iaitu menang 2-1 semasa kelayakan Piala Dunia 2011 dan kalah 2-3 di tempat lawan dalam pusingan kelayakan sama serta 0-2 dalam perlawanan persahabatan di Taiwan pada 2018.

Bagi Taiwan, walaupun kecundang 0-3 di tangan Oman dalam perlawanan kelayakan pertama mereka di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat pada Khamis, pasukan 'The Blue Wings' itu belum lagi tewas di laman sendiri tahun ini apabila seri ketika menentang dua pasukan pada ranking lebih tinggi iaitu Thailand (2-2) dan Filipina (1-1) dalam perlawanan persahabatan.

Anak didik Gary White itu turut melakar kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia.

-- BERNAMA