IPOH: Bahang kehangatan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan Perak FC dan JDT semakin terasa, apabila lebih 11,000 tiket telah terjual setakat 6.30 petang ini sejak jualan dibuka dua hari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsuddin berkata sambutan jualan tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang https://www.tickethotline.com.my, amat memberangsangkan dengan 7,140 tiket terjual setakat ini, manakala selebihnya secara fizikal dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

"Kita percaya perlawanan menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) akan meriah dengan kebanjiran penyokong, bagi memberikan sokongan serta menyemarakkan lagi aksi tersebut.

"Jadi kita meminta penyokong yang mahu membeli tiket secara fizikal di stadium, untuk segera berbuat demikian bagi mengelakkan mereka beratur panjang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bobie Farid berkata pihaknya juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembelian tiket dari 6 petang hari ini kepada 9 malam, selepas mendapat permintaan daripada penyokong.

Beliau turut menyasarkan 25,000 tiket akan terjual kepada penyokong kedua-dua pasukan, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Bagi pasukan pelawat pula, mereka diperuntukkan 1,000 tiket dan perlu dibeli secara dalam talian sahaja, serta tiada penjualan secara fizikal buat penyokong pelawat di stadium.

Sementara itu, Bobie Farid berkata meskipun Perak FC dianggap pasukan underdog, namun beliau menjangkakan kedua-dua pasukan akan menampilkan aksi sengit, dengan Skuad The Bos Gaurus akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan menewaskan JDT.

Selepas perlawanan esok, pasukan itu dijadual berhadapan perlawanan timbal balik dengan pasukan Harimau Selatan pada 2 Nov depan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

-- BERNAMA