LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, memberikan penghormatan khas kepada penganjur Perlawanan Paris 100 kerana menjemputnya ke perlawanan legenda yang menampilkan bekas pemain terbaik dunia dalam sukan itu seperti Lin Dan, Taufik Hidayat dan Peter Gade, baru-baru ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu kemudiannya bergandingan dengan Peter Gade dalam perlawanan persahabatan menentang gandingan Lin Dan dan Taufik Hidayat di Menara Eiffel yang merupakan menara ikonik di Paris, Perancis.

Perlawanan itu diadakan sempena kiraan detik 100 hari sebelum bermulanya temasya sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirai pada 26 Julai nanti.

"Kami pernah menjadi pemain muda yang mengejar impian yang sama dan datang dari pelbagai negara. Terima kasih Paris 100 kerana mengumpulkan kami sekali lagi di kota paling romantik di dunia dan bermain sukan yang paling kami gemari.

"Semestinya seronok melihat rakan lama saya seperti Lin Dan, Peter Gade dan Taufik. Ingatan terbaik saya tentang Paris adalah ketika memenangi Terbuka Perancis pada tahun 2015 dahulu," katanya menerus laman media sosial rasminya.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro