SUKAN
UCL: Liverpool tewas dua kali berturut-turut, Osimhen jadi pemusnah di Istanbul

Reaksi Arne Slot dan Virgil van Dijk ketika mengucapkan tahniah kepada pemain pasukan lawan selepas perlawanan Liga Juara-Juara UEFA antara Galatasaray dan Liverpool di Rams Park, Istanbul, 30 Sept 2025. REUTERS
LIVERPOOL terus mencari rentak di bawah Arne Slot selepas tewas 1-0 kepada Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), sekali gus mencatatkan kekalahan kedua berturut-turut, sesuatu yang jarang berlaku sepanjang tempoh awal pengendali Belanda itu di Anfield.
Slot kelihatan kecewa ketika mengucapkan tahniah kepada pasukan tuan rumah yang nyata lebih berhak memenangi perlawanan pada Selasa.
Walaupun Cody Gakpo hampir menghadiahkan gol penyamaan apabila rembatan beliau dikeluarkan di atas garisan, keseluruhannya Liverpool gagal memberikan ancaman sebenar di hadapan gawang lawan.
Sebaliknya, Galatasaray yang mendominasi peluang. Victor Osimhen menjadi wira selepas menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, namun penyerang Nigeria itu sebenarnya berpeluang untuk mencatat hatrik jika lebih tenang di hadapan gol. Barış Alper Yılmaz juga melepaskan satu peluang besar yang sepatutnya menambah derita Liverpool.Alisson Becker sekali lagi muncul penyelamat, sama seperti ketika menentang Crystal Palace minggu lalu, dengan beberapa aksi penting yang memastikan kekalahan tidak lebih memalukan. Namun, hakikatnya Liverpool masih bergelut untuk mencari keserasian dalam skuad yang banyak berubah sejak jendela perpindahan lalu.
Tiada alasan untuk panik di Anfield, tetapi jelas ada kerja rumah menanti Slot. Mencari keseimbangan dan memastikan wajah baharu Liverpool benar-benar serasi dengan sistemnya mungkin mengambil masa lebih lama daripada yang dijangka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami