Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menggesa barisan pemainnya untuk segera memperbaiki kelemahan menjelang aksi Liga Super bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya hujung minggu ini.

Berdasarkan tiga perlawanan pertama musim ini, Cheng Hoe dapat melihat ada kelemahan melibatkan keputusan pemain, terutama ketika melakukan hantaran terakhir ke gawang lawan.

Bekas pengendali kebangsaan itu menuntut perubahan segera daripada barisan pemainnya dengan berkata kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom: "Saya nampak ada kelemahan di bahagian serangan kerana kalau kita lihat sepanjang tiga perlawanan terakhir, walaupun kami memperoleh jaringan yang agak baik, sewaktu menentang Sri Pahang, kami kurang ketajaman di depan gol.

"Hantaran kami selalu tersangkut dan ia menyebabkan Sri Pahang dapat melakukan serangan balas yang cukup berbahaya untuk mendapatkan gol."

Mengenai perlawanan menentang Penang, Cheng Hoe menambah: "Penang FC nampak berbeza tahun ini kerana mereka memiliki ketua jurulatih yang faham dengan bola sepak di Malaysia.

"Mereka juga nampak tersusun daripada segi bertahan dan menyerang. Kalau kita lihat sepanjang tiga perlawanan terakhir ini, mereka mendapatkan keputusan yang baik walaupun tewas kepada Kelantan FC tempoh hari.

"Secara keseluruhan, mereka bermain sebagai satu pasukan dengan baik dan memiliki beberapa pemain import yang bagus," katanya lagi.