RAMALAN keputusan:
Selangor FC 2 - 0 Sri Pahang FC
Terengganu FC 2 - 1 KL City FC

Selepas membelasah Kuching City FC 5-0 pada perlawanan kedua saingan Liga Super pada Khamis lalu, Selangor FC mahu meneruskan momentum kemenangan dan membuktikan kemampuan sebagai pencabar utama liga dengan melayan kunjungan Sri Pahang FC.

Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe dijangka mengekalkan barisan kesebelasan utama yang sama untuk menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Faisal Halim yang telah menyumbang tiga bantuan gol setakat ini (paling tinggi dalam saingan musim ini) menjadi sandaran skuad The Red Giant untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Sri Pahang FC.

Namun, kebolehan Sri Pahang FC tidak boleh dipandang rendah.

Anak-anak buah Fandi Ahmad masih belum tewas dalam dua perlawanan, malah merekodkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kelantan FC sebelum ini.

Berdasarkan rekod pertemuan dalam empat perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan, Selangor menang dua perlawanan, Sri Pahang satu dan satu keputusan berakhir seri.

Pada perlawanan ini, Selangor dilihat mempunyai kelebihan untuk mengatasi Sri Pahang.

Satu lagi perlawanan tumpuan ialah antara Terengganu FC menentang Kuala Lumpur City FC.

Kedua-dua pasukan masih belum mencatatkan sebarang kemenangan selepas dua perlawanan.

Terengganu tewas dua perlawanan pertama menantang JDT dan Kedah Darul Aman FC, namun mempamerkan corak permainan yang baik.

Menentang KL City, skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner pastinya mahu menggunakan peluang bermain di tempat sendiri untuk merekodkan kemenangan sulung mereka.

KL City pula mahu bangkit selepas ditewaskan JDT 0-3 di Stadium Bolasepak Cheras, namun Bojan Hodak perlu menampilkan taktikal yang berbeza dan lebih agresif.

Ini memandangkan berdasar kepada lima rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, KL City hanya menang sekali sahaja dan empat lagi perlawanan dimenangi Terengganu.

Siaran langsung perlawanan Selangor FC vs Sri Pahang FC boleh ditonton di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 5.30 petang manakala Terengganu FC vs KL City FC boleh ditonton di saluran sama pada jam 9 malam.



* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bolasepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.