KUALA LUMPUR: Hanya seorang pemain naturalisasi akan dibenarkan bagi setiap pasukan bola keranjang wanita di Sukan SEA 2027 yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi ke-34 temasya dwitahunan itu.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata sebagai tuan rumah, Malaysia berhak menetapkan peraturan itu sepertimana diperuntuk oleh Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA).

"Di Malaysia nanti, kita hanya akan benarkan satu pemain naturalisi... sebab sebenarnya (di Sukan SEA Kemboja) kita mempunyai peluang untuk menang emas namun banyak negara yang membenarkan penggunaan pemain naturalisasi dan kebanyakkan mereka adalah dari Amerika Syarikat.

"Mereka ini mempunyai kelebihan dari segi saiz besar dan tinggi... Kalau pemain tempatan, sudah tentu (Malaysia) emas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif kepada Pasukan Bola Keranjang Wanita Negara yang beraksi di Sukan SEA Kemboja di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Pasukan bola keranjang wanita negara meraih pingat gangsa sekali gus mengulangi pencapaian di Sukan SEA Hanoi 2021 yang menyaksikan mereka menerima durian runtuh daripada MABA dengan jumlah ganjaran keseluruhan RM225,000 bagi pencapaian cemerlang di temasya itu.

Tian Hock optimis sekiranya setiap pasukan diberikan peluang sama rata pada Sukan SEA 2027, skuad negara mampu sekali lagi menghadirkan kilauan emas seperti yang pernah dicapai di pentas Sukan SEA 2015 dan 2017.

Beliau juga berharap agar Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Olimpik Malaysia dapat menyelesaikan isu pengambilan pemain naturalisasi bola keranjang dengan kadar segera bagi memastikan mereka memperkuat barisan pemain negara yang sedia ada.

-- BERNAMA