LIGA Super ASEAN (ASL) masih belum dapat dipastikan akan bermula 2017 walaupun gerak kerja penganjuran telah memasuki 60 peratus, demikian menurut Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau akui tidak mahu meletakkan satu tempoh masa tertentu bagi semua ahli gabungan menyediakan pasukan bertanding dalam ASL kerana banyak perkara perlu diambil kira.

Faktor utama adalah mahu memberi kebebasan kepada setiap pasukan dalam soal pengumpulan bajet bagi mengharungi tempoh liga yang dijangka memakan masa lapan bulan.

“Kami tidak mahu tergesa-gesa untuk melancarkan liga tersebut kerana sasaran awal merupakan tahun 2016. Kini, kami berancang untuk tahun 2017.

“Kami perlu ambil masa lagi untuk menetapkan peraturan baharu dan juga memastikan persiapan kesemua kelab berjalan dengan lancar,” kata Azzudin.

Mengenai jumlah pasukan yang bertanding, beliau letakkan sasaran sekurang-kurangnya 12 pasukan akan mengambil bahagian.

Berdasarkan syarat ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pasukan yang mahu ambil bahagian dalam kejohanan ASL, tidak boleh terdiri daripada liga tempatan negara masing-masing.

“Tidak semestinya kelab perlu tukar nama. Mereka boleh menggunakan nama yang sama tetapi senarai pemain akan berbeza.

Ditanya skuad yang akan mewakili Malaysia di pentas ASL, Azzuddin enggan mendedahkannya namun memberitahu ia sebuah pasukan baharu.

“Saya rasa ia kurang beretika untuk beri pendedahan. Tetapi, difahamkan sebuah pasukan baharu akan dibentuk,” tambahnya.

Liga Super ASEAN bakal berlangsung pada 2017 dengan objektif meningkatkan taraf bola sepak serantau Asia Tenggara dalam pembangunan liga yang lebih profesional yang mungkin akan melibatkan 17 pasukan.