Malaysia mampu perbaiki pencapaian di Incheon

Bernama
Oktober 11, 2018 22:45 MYT
Sukan Para Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta dari 6 hingga 13 Okt menawarkan 568 pingat emas menerusi 18 acara sukan yang dipertandingkan dengan penyertaan 39 buah negara. - Gambar hiasan
Dua atlet olahraga menjadi sandaran kontinjen Malaysia untuk mencapai sasaran 15 pingat emas pada temasya sukan Para Asia 2018 di sini, pada Jumaat.
Selepas mengumpul 13 pingat emas pada hari keenam temasya itu pada Khamis, Malaysia akan meneruskan misi memburu emas menerusi atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan pelari 1,500m, Muhamad Ashraf Hisham.
Malaysia kini menduduki tangga kelapan dalam carta pungutan pingat dengan meraih 13 emas, 18 perak dan 19 gangsa sebelum temasya melabuhkan tirai Sabtu ini.
Jumaat adalah hari penentuan untuk kontinjen negara mengulangi pencapaian 15 emas empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan dengan sandaran emas diletakkan kepada dua atlet olahraga tersebut.
BACA: Doa ibu bapa buatkan Mohamad Ridzuan sebak, raih emas ketiga
BACA: Ridzuan Puzi dan Latiff Romly cipta rekod baharu dunia
BACA: PM ucap tahniah kejayaan atlet para pecah rekod dunia
Seandainya, kedua-dua atlet berkenaan menepati sasaran, Malaysia dilihat mampu memperbaiki pencapaian 2014 di Incheon sekiranya perenang 50m kuak kupu-kupu, Jamery Jamba membawa kilauan emas dari Pusat Akuatik Gelora Bung Karno.
Malaysia juga mempunyai peluang untuk merangkul emas jika pemain badminton, Didin Tarwesoh berjaya mengatasi Chu Man Kai dari Hong Kong dalam final perseorangan lelaki kategori SS6.
Tidak boleh menolak kemungkinan peluang pingat emas di Velodrom Antarabangsa Jakarta apabila empat pelumba lelaki negara - Mohamad Yusof Hafizi, Shukor Farhan, Mohd Najib Turano dan Zuhairie Ahmad Tarmizie - bertarung dalam acara kejar-mengejar individu.
-- BERNAMA
#atlet #badminton #Incheon #Jakarta #Jamery Jamba #kontinjen #lontar peluru #Malaysia #Muhamad Ashraf Hisham #Muhammad Ziyad Zolkefli #olahraga #pecah rekod #pelari #pingat #pingat emas #rekod dunia #Sukan Para Asia