Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhasrat menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kejohanan Hoki Piala Dunia pada 2022.

Hasrat tersebut timbul selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah pusingan kedua Final Siri Hoki Dunia pada Jun tahun depan iaitu pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata FIH percaya Malaysia mempunyai kemudahan dan keupayaan untuk menganjurkan kejohanan baharu bagi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"FIH melihat Malaysia sebagai venue hebat untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan bertaraf dunia," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan memberi pertimbangan serius atas tawaran yang diterima daripada badan induk dunia itu dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC pada 3 Jun ini untuk mendapatkan kata putus.

Seandainya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, Subahan berkata ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2002.

"Kami serius untuk menganjurkan Piala Dunia 2022 kerana skuad lelaki negara dan wanita telah menunjukkan peningkatan mendadak dan mampu bersaing dengan mana-mana pasukan bertaraf dunia," katanya.

Beliau juga berkata menjadi tuan rumah Final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur tahun depan juga memberi kelebihan kepada impian skuad lelaki negara bimbingan Stephen Van Huizen untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 sekiranya gagal menjadi juara benua pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.

Beliau berharap kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) menerusi menteri baharu bagi portfolio sukan akan terus memberi sokongan kepada program pembangunan yang dilaksanakan oleh MHC.

Sementara itu, Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh berkata Final Siri Hoki Dunia adalah format baharu FIH bagi menggantikan Liga Hoki Dunia (WHL) sebelum ini.

Beliau berkata siri final itu dibahagikan kepada tiga pusingan dan pusingan akhir turut mernyaksikan penyertaan empat pasukan terbaik daripada Liga Hoki Profesional (HPL).

Menurutnya, enam pasukan terbaik selepas pusingan akhir Final Siri Hoki Dunia akan mengiringi lima juara benua serta tuan rumah Jepun ke Sukan Olimpik 2020.

Beliau berkata format sama akan diguna pakai untuk Piala Dunia 2022.

-- BERNAMA