Malaysia tidak akan mengikut langkah Singapura dengan menghentikan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat.

Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya berkata setakat ini kontrak penganjuran F1 bersama Formula One Management (FOM) masih kekal sehingga 2018 tetapi pihaknya akan melakukan kajian mengenai perlumbaan yang telah dianjurkannya sejak 1999.

"Kita tidak mengikut jejak Singapura, kita akan buat keputusan dengan cara kita sendiri...SIC masih mengkaji kesan ekonomi berhubung penganjuran F1 sebelum membuat keputusan.

"Buat masa ini, kontrak masih kekal sehingga 2018, cuma kita terpaksa membuat kajian tentang F1 lebih awal. Kos penganjuran F1 telah meningkat 10 kali ganda berbanding kali pertama ia diadakan.

"Kita sudah anjurkannya selama 18 tahun. Sejak awal penganjurannya, kita mahu meletakkan Malaysia dalam peta sukan bermotor dunia dan kita berjaya," kata Azman selepas melancarkan perlumbaan kereta lasak 12 jam Motul Sepang di sini hari ini.

Portal sukan permotoran, motorsport.com, melaporkan Ketua Eksekutif Formula One Group, Bernie Ecclestone mendedahkan penganjur Grand Prix (GP) Singapura tidak lagi mahu mengadakan perlumbaan itu.

Menurut laporan itu, sejak beberapa bulan lalu sudah timbul spekulasi sama ada Singapura mahu memperbaharui kontrak mereka selepas perlumbaan tahun hadapan.

Malaysia akan menganjurkan perlumbaan GP F1 tahun hadapan pada 17 Sept iaitu dua minggu lebih awal daripada GP Singapura, berbeza dengan penganjuran tahun ini di mana Singapura terlebih dahulu menganjurkannya sebelum saingan di Litar Sepang.

"Saya tidak tahu sama ada Singapura telah menarik diri, komen itu dibuat Ecclestone. Setiap kali kita memperbaharui kontrak, kami akan menilai kesannya kepada ekonomi negara. Kos menganjurkan F1 meningkat setiap tahun.

"Kami perlu melihat kemampuan F1 menarik penonton dan pendedahan media. Saya rasa kesan daripada penurunan penonton di sini, tiada kaitan dengan GP Singapura," katanya. -- Bernama