SUKAN

Man Utd dominasi Man City, Michael Carrick mulakan tugas dengan kemenangan

Bernama 17/01/2026 | 23:15 MYT
Michael Carrick (kanan) dan Pep Guardiola (kiri) ketika memantau perlawanan EPL antara Manchester United dan Manchester City di Manchester, England, 17 Jan 2026. (Foto AP)
MANCHESTER: Michael Carrick menikmati permulaan impian sebagai pengendali Manchester United apabila Bryan Mbeumo dan Patrick Dorgu memastikan kemenangan 2-0 dalam aksi tetangga menentang pencabar kejuaraan, Manchester City di laman sendiri, lapor PA Media/dpa.

Pertemuan kompetitif ke-198 antara pesaing setempat itu pada Sabtu menyaksikan United yang menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris melayan kunjungan pasukan di tangga kedua, sekali gus menjadi tugasan pertama bekas pemain tengah "Red Devils" itu sejak kembali membimbing kelab berkenaan.

Carrick yang dinamakan sebagai ketua jurulatih sehingga akhir musim pada minggu ini, membawa penambahbaikan segera menerusi jaringan babak kedua Mbeumo dan Dorgu untuk memastikan United meraih kemenangan sewajarnya ke atas City di Old Trafford yang kembali bersemangat.

Tuan rumah mempamerkan aksi menyeluruh yang mengagumkan, sekali gus melupakan kemelut dua minggu susulan pemergian Ruben Amorim melalui kemenangan pertama mereka sejak 26 Disember lepas.

Skuad kendalian Pep Guardiola jarang sekali mengancam anak buah Carrick, yang sepatutnya boleh menang dengan keputusan lebih besar jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Gianluigi Donnarumma, palang gol serta tiga jaringan yang dibatalkan kerana ofsaid.

Pencabar kejuaraan, City mungkin berasa terkilan apabila Diogo Dalot tidak dibuang padang susulan kekasaran awal terhadap Jeremy Doku, namun penyokong United sudah pasti tidak menghiraukan perkara itu.

Kegirangan Carrick jelas terpancar selepas kemenangan pada aksi tengah hari Sabtu itu, yang menyusuli rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan ketika beliau menjadi pengurus sementara selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada November 2021.

-- BERNAMA

#Manchester City #Manchester United #Michael Carrick #Liga Perdana Inggeris