Aksi tumpuan pusingan 16 akhir awal pagi tadi menyaksikan Manchester United mengikat Real Madrid satu sama di laman lawan dalam perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah.

Berlangsung di Santiago Bernabeu, tumpuan terarah kepada Cristiano Ronaldo yang turun beraksi buat kali pertama menentang pasukan lamanya itu sejak 2009.

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-6, namun percubaan Fabio Coentrao dinafikan tiang gol.

Pelawat yang jarang melakukan asakan kemudiannya tampil membuat kejutan apabila di depan hasil jaringan Danny Welbeck, pada minit ke-20.

Tersentak, The Galacticos bangkit mengatur rentak dan gol yang dinanti kunjung tiba selang sepuluh minit menerusi Ronaldo.

Terikat satu sama pada babak pertama, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan pada babak berikutnya.

Skuad bimbingan Jose Mourinho yang lebih banyak mendominasi permainan bagaimanapun buntu menambah jaringan.

Ia susulan aksi cemerlang penjaga gol pelawat, David De Gea yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah.

Keputusan satu sama kekal berakhir sepenuh masa sekaligus beri bekalan yang cukup baik buat pasukan United untuk aksi timbal balik di Old Traford, 5 Mac ini.