PENGENDALI Chelsea, Maurizio Sarri, menjangkakan kebangkitan Manchester United untuk menamatkan rentetan kekalahan dalam tiga perlawanan berturut-turut ketika kedua-dua pasukan bertemu esok (Ahad) dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kepada Barcelona, diaibkan Everton dan mengalami kekalahan kepada Manchester City pada Rabu.

Bagaimanapun, Sarri enggan memberi jaminan ketika berkunjung ke Old Trafford ketika The Red Devils masih turut serta dalam persaingan mengejar kelompok empat terbaik liga.

"Mereka memiliki peluang yang cerah," kata Sarri.

"Mereka perlu menang dalam setiap perlawanan. United akan menampilkan permainan yang lebih baik ketika berdepan kami esok.

"Sukar untuk membuat perancangan menghadapi United kerana mereka adalah pasukan yang berkualiti. Kami akan cuba bersaing dan berusaha sebaik mungkin.

Chelsea memiliki rekod buruk berdepan enam pasukan teratas liga musim ini, tetapi Sarri percaya keputusan itu tidak seiring dengan persembahan keseluruhan pasukan.

"Sukar untuk meraih mata berdepan United, City, Liverpool, Arsenal, Tottenham di tempat lawan, tetapi kami perlu melangkah ke hadapan.

"Kami mengetahui setiap kelemahan yang diperlu diperbaiki dan tiga mata menjadi keutamaan Chelsea."