Megat D Shahriman tawar diri rebut jawatan Presiden FAM

Megat D Shahriman berkata pengalaman menerajui MPM membuktikan formula kepimpinan berpasukan yang diterapnya mampu membawa perubahan besar. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sekali lagi menyatakan minat untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu, baru-baru ini.
Beliau berkata kesediaan merebut jawatan itu bukan atas kepentingan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mewakili suara awam dan peminat bola sepak yang mahukan perubahan menyeluruh dalam pengurusan FAM.
Megat D Shahriman berkata pengalaman menerajui MPM dan pencapaian badan induk sukan para itu membuktikan formula kepimpinan berpasukan yang diterapnya mampu membawa perubahan besar serta mencapai kejayaan.
"Saya menawarkan diri sebab saya bukan dimiliki sesiapa. Bola sepak ini milik orang ramai dan saya juga sebahagian daripada orang ramai. Apa yang peminat mahu adalah wajah baharu, orang yang boleh buat pembaharuan dan penstrukturan semula FAM dan saya seorang daripada orang itu.
"Saya percaya dengan pengalaman dalam sukan para iaitu kami berjaya lakukan sebagai satu pasukan, hasilnya hingga hari ini kita berjaya mencipta kejayaan di setiap temasya. Saya telah buktikan formula itu berkesan dan boleh digunakan dalam FAM," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengurus International Federation of Celebral Palsy Football (IFCPF) berkata tumpuan akan diberikan kepada suara peminat.
"Saya bukan boneka siapa-siapa, saya bukan pak turut. Saya bersama dengar akar umbi dan peminat bola sepak, saya juga seorang peminat bola sepak cuma saya tidak menunjukkan macam mana saya gilakan bola sepak," kata Megat D Shahriman.
Sementara itu, mengulas cadangan supaya Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik semula sebagai presiden FAM, Megat D Shahriman berkata baginda merupakan calon terbaik namun FAM kini berada dalam keadaan tercalar dari segi imej.
"Saya setuju Tuanku ialah calon yang sangat baik tetapi untuk meletakkan baginda dalam sebuah organisasi telah tercemar di mata dunia adalah tidak wajar. Tuanku perlu dilindungi dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan segala kekecohan ini," katanya.
Al-Sultan Abdullah merupakan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.
Mengenai bekas exco FAM yang ingin bertanding semula, Megat D Shahriman berkata pembaharuan hanya boleh berlaku jika dipimpin oleh individu yang benar-benar mahu bekerja dan bertanggungjawab.
Beliau berkata usaha membaik pulih badan induk itu tidak boleh dibuat secara separuh masak atau bersifat selektif.
"Walaupun seseorang tidak terlibat secara langsung dia tetap sebahagian daripada pasukan. Jika kamu pilih tanggungjawab ikut suka, itu bukan sikap kerja berpasukan dan itu menunjukkan kamu tidak benar-benar peduli tentang bola sepak dan persatuan sejak awal," katanya.
Megat D Shahriman pernah menyuarakan hasrat bertanding jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan tahun lepas, namun membatalkan hasratnya itu disebabkan kekangan masa.
Menurut statut FAM, calon presiden mesti mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan daripada ahli gabungan untuk layak bertanding.
Bulan lepas, kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan krisis yang melanda, bagi melindungi integriti FAM serta mengutamakan tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi.
Krisis dalam FAM bermula pada September tahun lepas selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


