PENGENDALI Barcelona, Luis Enrique enggan mengulas lanjut atas tindakannya mengeluarkan Lionel Messi dalam kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao, malam tadi.

Kapten Argentina itu meledak gol kedua buat Barcelona dalam kemenangan 3-0 di Camp Nou menerusi sepakan percuma namun dikeluarkan pada minit ke-64.

Messi -- yang beraksi penuh 90 minit memasuki tahun 2017 kecuali aksi malam tadi -- kelihatan kecewa dengan tindakan Enrique meskipun dilihat bergurau dengan Luis Suarez di bangku simpanan.

Tindakan Enrique bagaimanapun dikatakan bagi memberi rehat kepada pemain 29 tahun itu menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol berdepan Atletico Madrid, namun ketika soalan diajukan kepadanya, pengendali itu kelihatan tidak menerima baik pertanyaan tersebut.

"Saya tidak akan memberi sebarang komen,"dia memberitahu sidang media. "Kamu hanya mahukan bahan berita tetapi saya tidak mahu kamu menulis tentang perkara ini. Saya tidak akan memberikan sebarang maklumat."

Pada masa sama, Enrique turut teruja dengan sumbangan Alcacer yang meledak gol pembukaan perlawanan.

"Saya gembira untuk Paco, bukan kerana dia seorang pemain yang hebat tetapi dia juga individu yang baik.

"Athletic bukan lawan mudah. Kami cuba mengatasi corak tekanan tinggi ditampilkan mereka. Kami berasa lega apabila berjaya meledak gol pembukaan yang turut memberi kesan terhadap permainan mereka."

Bagaimanapun, Barcelona terpaksa membayar harga tinggi apabila bakal kehilangan khidmat pertahanan, Gerard Pique yang mengalami kecederaan.