KELAB Penyokong Anak Selangor (ASFC) menyifatkan tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang enggan menunda aksi Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai ego.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, skuad Gergasi Merah memohon penundaan tarikh atas faktor keselamatan yang bukan sahaja melibatkan pengurusan pasukan dan pemain, malah turut membabitkan penyokong.

"Selangor FC minta tunda bukan mahu tarik diri, tapi MFL bertindak ego dan tidak memberikan penundaan. MFL patut benarkan perlawanan penundaan dan cari tarikh yang sesuai.

"Saya menyokong tindakan kelab demi keselamatan semua pihak," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Selangor FC sebelum ini memohon MFL menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden simbah asid ke atas Faisal Halim selain ugutan yang diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

MFL bagaimanapun menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor FC membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

Beliau berkata, MFL sepatutnya lebih prihatin dengan nasib yang menimpa pemain kebangsaan itu kerana insiden tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

"MFL wajib prihatin dengan isi kemanusiaan bukan semata-mata mengejar penajaan kerana nilai solidariti perlu menjadi keutamaan.

"Jangan sampai penyokong muak dengan semua ini dan tak mahu datang ke stadium lagi," katanya. - Sinar Harian