KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyarankan pasukan Liga Malaysia, agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan sepanjang tempoh rehat liga berkenaan, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Liga Super berehat seketika bermula 10 Mei hingga 8 Julai, manakala Liga Premier mulai 9 Mei hingga 17 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dengan pematuhan SOP semua pasukan yang bertanding, bagi membendung berlaku sebarang kluster pandemik COVID-19, sepanjang penganjuran Liga Malaysia musim 2021.

Beliau berkata, pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan pertama, selepas tempoh rehat iaitu perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Saya menyeru kepada kesemua yang terlibat dalam industri bola sepak agar sentiasa kekal berdisiplin mematuhi SOP dan Protokol Am Individu, yang telah ditetapkan.

"Ini kerana MFL mahu memastikan perjalanan Liga Malaysia musim 2021 kekal berjalan mengikut jadual, di mana SOP gelembung sukan haruslah dijaga rapi oleh semua pihak bola sepak negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Ab Ghani mengingatkan semua pasukan diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen sebelum atau pada hari perlawanan pertama, selepas tamat tempoh rehat.

"Liga Malaysia telah diberikan kepercayaan tinggi daripada pihak kerajaan untuk diteruskan sebagaimana kita telah memastikan Liga Malaysia musim 2020 bebas daripada sebarang kluster COVID-19.

"Justeru, saya berharap pasukan akan terus teguh menjaga kepentingan gelembung sukan ini daripada sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.

-- BERNAMA