Meskipun tewas dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan A, menentang pasukan Indonesia Aerowolf Pro Team dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (MSC), ia tidak menghalang pasukan Malaysia AirAsia Saiyan untuk beraksi cemerlang mengalahkan pasukan negara jiran, Bigetron Singapura (Bigetron SG) 1-0.

Dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 11 minit itu, tiga ahli pasukan AirAsia Saiyan termasuk kapten Ahmad Fuad 'Fredo' Razali, Sofian ‘Penjahat’ Sultan dan Mohd Faris 'Soloz' Zakaria mengekalkan rekod KDA (Kill-Death-Assist) yang baik dengan mencatatkan 0 Death (mati ditewaskan).

AirAsia Saiyan dilihat ‘membuka kuasa Super Saiyan’ sejak awal perlawanan apabila mengekalkan rekod sembilan Kill (mata menewaskan musuh) sehingga minit ke lima.

Bigetron yang terkenal dengan corak permainan fast game bagaimanapun tersungkur pada minit pertama apabila pemain AirAsia Saiyan Gripex yang menggunakan hero tank Kaja, mendapat first blood dengan ‘membunuh’ Lim 'Ly4ly4ly4' Yang.

Saat-saat sebelum AirAsia mendapat First Blood. Soloz dan Gripex dilihat cuba mengepung pemain-pemain Bigetron SG dari atas sementara Penjahat dan Logan bersedia di bawah. Ly4ly4ly4 yang menggunakan hero Martis terkandas selepas menerima serangan bertubi-tubi.
Gripex terus mendapat double kill selepas menewaskan hero Kagura yang digunakan Ho Ee 'SynC' Hong.

Cuba mengekalkan momentum baik sebagai satu kumpulan, Fredo yang menggunakan hero fighter Bane cuba mengejar Victor Lin Jin 'MrVi' Shun yang menggunakan hero Chou yang dilihat mempunyai ‘nyawa’ yang sangat rendah pada ketika itu.

Malangnya, Mr Vi mampu melarikan diri dan pulang ke pangkalan utama pasukannya.

AirAsia Saiyan terus mengekalkan prestasi corak permainan yang baik dengan meruntuhkan enam menara Bigetron SG dalam masa tujuh minit 34 saat.

Selang beberapa minit kemudian AirAsia Saiyan berjaya mendapatkan Lord walaupun Bigetron sempat ‘mencuri’ menara di bahagian laluan bawah menerusi Soh Wei 'wQxD' Quan yang menggunakan hero Jawhead.

Selepas Lord ‘diseru’ di bahagian laluan tengah, Bigetron mengambil keputusan untuk melakukan strategi bertahan.

Walau bagaimanapun, strategi mereka gagal apabila apabila MrVi terkorban dahulu sebelum menara terakhir di bahagian tengah pecah dimusnahkan AirAsia Saiyan.

Tidak mahu melepaskan peluang, AirAsia Saiyan terus memberi asakan dengan melakukan serangan demi serangan sehingga memenangi perlawanan itu.

BACA: Mobile Legends: Peluang 'mati hidup semula' AirAsia Saiyan

AirAsia Saiyan cuba mendapatkan 'Lord' ketika mereka mendahului perlawanan menentang Bigetron SG semalam.
AirAsia Saiyan bakal meneruskan perjuangan mereka dalam saringan peringkat kumpulan MSC dengan menentang pasukan Vietnam Burmese Ghouls tengah hari nanti.

Jika mereka mampu mengekalkan rentak permainan 'Super Saiyan' seperti menentang Bigetron SG semalam, AirAsia Saiyan berpeluang untuk ke pusingan kalah mati MSC esok bagi merebut gelaran yang terbaik di Asia Tenggara.

Selain AirAsia Saiyan dan Bigetron SG, lapan lagi pasukan terbaik Mobile Legends dari tujuh negara Asia Tenggara berkumpul dalam kejohanan itu menawarkan hadiah wang terkumpul melebih RM400,000.

Bertemakan 'Party of Legends' kejohanan itu memasuki edisi kedua, tahun ini.