Pasukan Mobile Legends AirAsia Saiyan tidak menyimpan sebarang perasaan terhadap pasukan Indonesia, Aerowolf meskipun kedua-dua pasukan tersebut terlibat dalam beberapa isu kontrovesi ketika Piala Asia Tenggara (MSC) berlangsung pada hujung minggu lalu.

Kapten AirAsia Saiyan, Ahmad Fuad Razali (Fredo) berkata pertelagahan merupakan satu perkara yang biasa berlaku dalam kalangan pemain.

"Kecam-mengecam adalah satu perkara biasa. Mungkin kadang-kala emosi mempengaruhi diri kita tapi kami di AirAsia Saiyan tidak mempunyai masalah dengan Aerowolf.

"Saya juga tidak mempunyai masalah dengan pemain Aerowolf, Afrindo Valentino (AWolf G).

"Saya pernah bersemuka dengan dia ketika bermain dalam satu perlawanan pertunjukan dan dia seorang yang baik," katanya kepada Astro AWANI selepas menghadiri sidang media Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia Singapura, di sini semalam.

Fredo berkata demikian ketika ditanya berhubung reaksinya apabila AWolf G bertindak untuk memohon maaf kepada AirAsia Saiyan selepas memuatnaik satu gambar di Instagram Stories ketika MSC sedang berlangsung.

BACA: Saya sedar perbuatan saya berlebihan - AWolf G

Gambar yang mengandungi kata-kata dalam bahasa Inggeris itu membawa maksud, orang yang kalah selalunya akan tidak puas hati dan merungut. Ia kemudiannya dipadamkan.

Tindakan AWolf G itu dilihat mengundang kemarahan peminat-peminat Mobile Legends di Malaysia.

Selepas beberapa hari, AWolf G memuatnaik satu gambar berserta kapsyen di Instagram, yang memohon maaf berhubung tindakannya itu.

Tidak terhenti di situ AirAsia Saiyan dan Aerowolf terpalit dengan 'drama' yang lain, apabila kedua-dua pasukan tersebut mendapat kontrak kejohanan yang berbeza berikutan kesilapan penganjur, RevivaLTV.

Ia seterusnya menyebabkan konflik siapa yang layak ke pusingan separuh akhir apabila AirAsia Saiyan dan Aerowolf terikat di kedudukan kedua teratas dalam pusingan peringkat kumpulan MSC.

AirAsia Saiyan bagaimanapun, bertindak untuk menarik diri adalah sebagai langkah protes terhadap tindakan RevivaLTV.

BACA: AirAsia Saiyan protes, tarik diri daripada MSC

Apabila ditanya adakah AirAsia Saiyan akan terus ambil tindakan undang-undang terhadap RevivaLTV seperti yang dinyatakan sebelum ini, Fredo menjawab: "Berhubung perkara itu, kami biarkan pihak pengurusan AirAsia Saiyan untuk membuat keputusan."

Sementara itu, mengulas mengenai MPL musim kedua, Fredo berkata ia bakal menjadi satu persaingan yang penuh aksi.

Jelasnya, MPL kali ini akan menjadi lebih seronok dengan kehadiran pasukan-pasukan baharu.

Menurut Fredo, EVOS Singapura bakal memberi saingan hebat berikutan barisan pemain-pemain dalam pasukan itu mempunyai skil bertaraf dunia.