ASTON Villa melengkapkan pembelian pemain sayap Perancis, Moussa Diaby, daripada Bayer Leverkusen.

Walaupun Villa tidak mendedahkan bayaran yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu, laporan secara meluas mengatakan bahawa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu baru sahaja memecahkan rekod bayaran termahal mereka.

Diaby telah membuat 10 penampilan senior bersama Perancis tetapi tidak menjadi sebahagian daripada skuad yang mara ke final Piala Dunia di Qatar tahun lalu.

Setelah meninggalkan kelab akademinya, Paris St Germain (PSG), Diaby beralih angin ke Leverkusen pada 2019.

Dia menjaringkan 49 gol dalam 172 penampilan untuk kelab Bundesliga itu sebelum melengkapkan penghijrahannya ke Villa Park.

Diaby menjadi pemain baru ketiga yang disambar Villa pada musim panas ini berikutan ketibaan Youri Tielemans dan Pau Torres tatkala pengurus, Unai Emery, bersiap sedia untuk menerajui musim penuh sulungnya bersama kelab itu.

Villa memuktamadkan perjanjian itu walaupun Diaby dilaporkan menarik minat kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr, dan dia kini akan membentuk bahagian penting dalam skuad berkenaan yang akan berjuang dalam Liga Persidangan Europa setelah menduduki tempat ketujuh dalam EPL musim lalu.