SUKAN
MPM perjelas isu atlet para badminton, tegas tiada penggantungan dikenakan

Megat Shahriman, turut berhubung secara langsung dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tampil memberikan penjelasan berhubung isu melibatkan insentif dan dakwaan terhadap seorang atlet para badminton negara, susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengenai kelemahan tadbir urus dalam sektor sukan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MPM menyambut baik nasihat yang diberikan oleh SPRM sempena Persidangan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman, turut berhubung secara langsung dengan Azam bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.
Komitmen integriti dan tadbir urusMPM menegaskan, komitmen terhadap integriti melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani bersama 23 persatuan sukan Para kebangsaan sejak 2021.
Sebagai Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan yang diiktiraf oleh International Paralympic Committee (IPC), MPM bertanggungjawab penuh terhadap penyertaan Malaysia dalam temasya seperti Sukan Paralimpik, Para Asia dan ASEAN Para Games.
MPM juga menjelaskan, semua urusan penajaan dan ganjaran kepada atlet dijalankan secara profesional dan telus, termasuk menghormati hak penaja serta mematuhi prosedur kontrak yang ditetapkan.
Dalam kes penarikan penajaan, MPM akan memaklumkan kepada pihak berkepentingan secara terbuka.
Penjelasan isu disiplin dan dakwaan media
Susulan dakwaan media mengenai “penggantungan seumur hidup” terhadap seorang atlet, MPM menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut.
Menurut MPM, tiada sebarang penggantungan dikenakan setakat ini kerana siasatan dalaman belum dijalankan.
MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada atlet berkenaan melalui persatuan sukan kebangsaan, khususnya berhubung penggunaan istilah “scam” di media sosial.
MPM dalam masa sama turut menyeru agar semua atlet menggunakan saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan atau aduan, selaras dengan prinsip demokrasi dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kritikan awam dialu-alukan, namun mestilah bebas daripada unsur perkauman dan fitnah yang boleh menjejaskan perpaduan serta pembangunan sukan negara.
MPM juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan berterusan, termasuk perkongsian template penajaan Road To Gold (RTG) yang akan dijadikan rujukan tambahan dalam pengurusan ganjaran atlet.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami