Keadaan perkampungan sukan yang terbuka merupakan faktor atlet bebas keluar masuk sewaktu temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2013.

Pada temasya Sukma 2013 lalu, kesemua 5000 atlet dari seluruh negara berkampung di Univerisiti Putra Malaysia (UPM).

Antara kolej penginapan yang terlibat adalah kolej ke-2 iaitu atlet lelaki menginap di blok Helang dan Raja Udang manakala atlet wanita pula menginap di blok bersebelahannya di Merpati dan Rajawali.

Kalau dilihat, hanya gelanggang bola tampar memisahkan blok berkenaan, tiada pagar, dinding atau sempadan kelihatan yang mampu mengawal kemasukan orang luar dari setiap blok.

Ia bermakna atlet atau sesiapa sahaja boleh bebas keluar masuk ke perkampungan sukan itu.

Ini membangkitkan persoalan tahap keselamatan di lokasi perkampungan sukan, yang mana tanggungjawab itu jatuh pada kontinjen terlibat.

Persoalan yang timbul juga adakah ini insiden pertama seumpamanya, atau terdapat kemungkinan sudah terdapat insiden seumpama ini, di temasya sebelum ini yang tidak dilaporkan.

Justeru, adakah wajar untuk terus menempatkan atlet di kampus-kampus Institusi Pengajian Tinggi Negara.

Sementara itu, Penganalisis dan Blogger sukan tempatan Rizal Hashim menyarankan Majlis Sukan Negara (MSN) agar mengkaji semula tahap keselamatan dan akses perkampungan sukan sewaktu temasya Sukma akan datang.

Jelasnya, perkampungan sukan adalah kawasan larangan kepada orang awam dan hanya boleh digunakan pegawai pertandingan serta atlet bertanding.

Ia bagi memastikan perkara tidak diingini daripada berlaku semasa sukan berkenaan berlangsung.

"Kalau kita lihat sebenarnya dari segi kawalan keselamatan dan akses perkampungan sukan jadi tidak kira sama ada blok berdekatan antara jantina berbeza.saya tetap percaya adalah tugas dan tanggungjawab MSN sebagai pengelola sukma bagi memastikan akses ke perkampungan sukan adalah terhad dan terkawal”, kata Rizal.

Tegasnya MSN selaku pemilik kepada temasya sukan tahunan itu harus membuat garis panduan untuk semua tuan rumah di peringkat negeri agar mudah menganjurkan sukan berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Isu tahap keselamatan di perkampungan sukan timbul selepas seorang seorang pegawai pengiring tambahan pasukan bola baling Wilayah Persekutuan membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di perkampungan sukan UPM.