PENYERANG Brazil dan Tottenham, Richarlison, mendedahkan dia mengalami kemurungan selepas Piala Dunia 2022.

Pemain berusia 26 tahun itu muncul penjaring terbanyak negaranya dalam kempen di Qatar menerusi tiga gol dalam empat perlawanan ketika mereka tersingkir daripada pusingan 16, namun dia bergelut secara mental selepas kejohanan itu.

Dia mengakui pernah berjumpa dengan ahli psikologi yang berjaya menyelamatkan nyawanya.

"Saya baru sahaja bermain dalam Piala Dunia," kata Richarlison kepada ESPN Brasil.

"Saya telah mencapai had saya. Saya tidak akan bercakap tentang kejadian cubaan membunuh diri, tetapi saya dalam kemurungan dan saya hampir menyerah kalah.

“Walaupun kelihatan kuat daripada segi mental, tetapi goyah selepas Piala Dunia.

“Saya rasa ahli terapi telah menyelamatkan nyawa saya. Saya hanya fikir yang bukan-bukan. Di Google pun, saya hanya mencari perkara tidak baik, saya hanya mahu melihat tentang kematian.

“Sebelum saya pergi ke latihan, saya mahu pulang ke rumah, saya mahu kembali ke bilik kerana saya tidak tahu apa yang bermain di fikiran. Saya juga memberitahu ayah bahawa saya akan menyerah."

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro