ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mahu mengulas mengenai gesaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung kenyataannya mengenai seorang individu yang didakwa mengawal Liga Malaysia, sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan beliau digelar 'derhaka' dan melawan institusi raja.

Jelasnya, sewajarnya tiada istilah 'derhaka' dibangkitkan sekiranya ia melibatkan sukan bola sepak.

"No comment (berkaitan gesaan yang dibuat TMJ), nanti ada orang kata saya lawan raja pulak,

"Diorang ini kalau tak ada hujah, depa kata (saya) lawan raja, derhakalah, apalah (macam-macam), ini (sukan) bola (sepak), (mana ada istilah) derhaka apalah...," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan mesyuarat agung tahunan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) di Kulim, pada Isnin.

Bola Sepak | TMJ cabar Sanusi dedah individu 'kawal' Liga Malaysia

BACA: TMJ cabar Sanusi dedah individu 'kawal' Liga Malaysia

Terbaharu, TMJ bersuara berhubung kenyataan dikeluarkan SanusI baru-baru ini.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin, Tunku Ismail menggesa Muhammad Sanusi agar mendedahkan identiti individu dimaksudkan beliau, yang didakwa ‘mengawal’ Liga Malaysia.

Sanusi pada Sabtu, sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk menolak budaya 'supreme' atau memberikan kuasa penuh kepada seseorang individu dalam sukan bola sepak.

Menurutnya, kenyataan 'tokong' yang dibuat sebelum ini adalah selepas wujud campur tangan 'orang' tertentu dalam memberi dan mengaturkan arahan kepada pasukan-pasukan lain, selain turut menghadiahkan bonus kepada mereka sekiranya berjaya mengalahkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC).

Perdebatan antara TMJ dan Sanusi mulai 'panas' selepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad dari pasukan KDAFC tidak sampai semusim tempoh pinjamannya di kelab yang berpangkalan di utara tanah air itu.

Keputusan itu dilihat dilakukan selepas kenyataan secara terbuka Sanusi berhubung isu pengadilan dan gelaran 'tokong' yang diberikan kepada individu tertentu dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Rabu lalu.