KUALA LUMPUR: “Saya ada perkara yang perlu dibereskan” – itu jawapan ringkas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas dipilih semula secara sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk penggal kedua dari 2021-2025.

Keputusan itu dibuat 15 ahli BAM daripada semua persatuan badminton negeri dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-76 persatuan itu di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Mohamad Norza yang gembira berkata beliau menyasarkan untuk memenuhi matlamat Projek 24 selain memastikan kem negara mendapatkan kejayaan dalam kejohanan besar seperti Piala Thomas, Kejohanan Badminton Dunia dan sudah tentu Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan Julai depan.

Projek 24 disasarkan bagi mengakhiri penantian Malaysia mendapatkan pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Mohamad Norza, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) nampak tidak terkesan menyandang dua jawatan pada satu masa kerana beliau merasakan ia boleh memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Apa yang saya lakukan di BAM memberikan penandaarasan terhadap tugas saya di MOM kerana dalam BAM ia memberikan saya peluang berkongsi banyak pengalaman saya dalam bentuk urus tadbir, pemasaran, penajaan dan sains sukan.

Sementara di MOM, tugas saya kebanyakannya berkaitan acara pelbagai sukan dan sukan berkenaan selalunya bermusim,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau juga berharap untuk mencari pengganti sesuai sebaik sahaja tugasnya di BAM selesai.

Sementara, Mohamad Norza mengumumkan Presiden Persatuan Badminton Selangor, Datuk V Subramaniam dipilih selaku Timbalan Presiden 1 dan begitu juga Datuk Seri Jahaberdeen Mohamad sebagai Timbalan Presiden 2.

Subramanian dan Jahaberdeen masing-masing menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Hussain dan Datuk Lim Teong Kiat yang bersara.

Datuk Kenny Goh mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung BAM sementara Datuk Michael Tang dilantik sebagai bendahari menggantikan Subramaniam.- BERNAMA