SUKAN Olimpik Tokyo mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh 15 bulan lagi.

Demikian pandangan penganalisis penyakit berjangkit Universiti Kobe, Kentaro Iwata, sambil menyifatkan selagi penularan COVID-19 masih berleluasa di serata dunia, adalah mustahil untuk menganjurkan acara sukan berprestij itu.

"Jepun mungkin boleh mengawal penyakit ini sebelum musim panas akan datang dan saya memang berharap kami boleh lakukannya. Tetapi, saya tidak rasa dunia mampu mengawalnya.

"Jadi, dalam hal ini, saya sangat pesimis Sukan Olimpik boleh diadakan pada musim panas depan kecuali ia diadakan dalam struktur yang sama sekali berbeza.

"Seperti, contohnya, tidak ada penonton atau penyertaan yang sangat terhad, atau sebagainya," kata Iwata pada Isnin, pada satu forum yang diadakan menerusi telesidang, anjuran Kelab Koresponden Luar Jepun, di Tokyo.

BACA: Tarikh baharu Olimpik Tokyo 23 Julai - 8 Ogos 2021

BACA: COVID-19: Sukan Olimpik dan Paralimpik ditangguh setahun

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Tokyo, Toshiro Muto memaklumkan, penganjur dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mempunyai pelan alternatif selain untuk meneruskan Sukan Olimpik pada 23 Julai 2021.

Sukan Olimpik akan menghimpunkan 11,000 atlet, dengan 4,400 atlet paralimpik termasuk kakitangan pelatih, jurulatih dan pasukan sokongan.

Ia juga akan menyaksikan ribuan pelawat asing berkunjung ke bandar terbesar negara matahari terbit itu.

BACA: Persiapan atlet Sukan Olimpik terkesan angkara COVID-19

BACA: COVID-19: PM Jepun gesa semua acara sukan dan kebudayaan dihentikan untuk dua minggu

Jepun secara rasmi membelanjakan ASD12.6 bilion untuk penganjuran sukan tersebut.

Data Universiti Johns Hopkins menunjukkan sehingga Isnin, Jepun mencatatkan 10,797 jangkitan dengan 236 kematian.