Pahang salur RM250,000 kepada 844 atlet menerusi Inisiatif Atlet Makmur

Fadzli berkata 78 atlet Pahang akan mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand dengan kerajaan negeri juga akan membantu mereka sepanjang temasya sukan dwitahunan itu berlangsung. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Kerajaan Pahang menyalurkan insentif lebih RM250,000 kepada 844 atlet yang aktif dan mengharumkan nama negeri menerusi Inisiatif Atlet Makmur Pahang.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang salurkan insentif lebih RM250,000 kepada 844 atlet melalui Inisiatif Atlet Makmur Pahang sebagai penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen atlet dalam meningkatkan prestasi.
- 78 atlet Pahang akan mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand; kerajaan negeri akan bantu atlet sepanjang temasya sukan dwitahunan itu berlangsung.
- Persiapan atlet Pahang untuk SUKMA 2026 di Selangor sedang giat dijalankan, dengan lebih 800 orang dijangka akan dihantar, di samping pelantikan Ketua Kontinjen Pahang telah dilakukan bagi memastikan persediaan yang optimum.
Selain itu, Fadzli berkata 78 atlet Pahang akan mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand dengan kerajaan negeri juga akan membantu mereka sepanjang temasya sukan dwitahunan itu berlangsung.
"Kita sentiasa memantau rapat prestasi serta keperluan atlet dan mereka yang memaklumkan keperluan tertentu akan dibantu Majlis Sukan Pahang (MSP) selain oleh Majlis Sukan Negara," katanya.
Selain itu, beliau berkata persiapan atlet Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor giat dijalankan, dengan senarai akhir mereka yang akan mewakili negeri dijangka dimuktamadkan Januari depan.
"Jika di (SUKMA) Sarawak (pada tahun lepas) lebih 700 atlet bertanding, untuk SUKMA Selangor kita bercadang menghantar mungkin lebih 800 orang," katanya.
Fadzli berkata Mesyuarat Lembaga Pengurus MSP bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Khaizulnizam Mohd Zuldin sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Pahang ke SUKMA 2026.
"Pelantikan berdasarkan prestasi baik beliau ketika mengetuai kontinjen Para SUKMA Pahang di Sarawak. Saya telah berbincang dan difahamkan beliau sedang mengatur strategi bersama-sama penyelaras sukan dan akan ke tempat latihan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu meminimumkan isu melibatkan atlet, jurulatih dan persiapan latihan supaya tidak menjejaskan persediaan bagi memastikan Pahang tampil dengan kekuatan optimum pada SUKMA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


