awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Iran kecam EU label IRGC sebagai 'organisasi pengganas'
SpaceX pertimbang bergabung dengan Tesla - Laporan
Petronas mahu kekalkan pengeluaran domestik dua juta tong minyak sehari dalam tiga tahun akan datang
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

EU isytihar IRGC sebagai 'organisasi pengganas'

Agensi
Agensi
29/01/2026
23:20 MYT
EU isytihar IRGC sebagai 'organisasi pengganas'
Ditubuhkan selepas Revolusi 1979, IRGC berkembang sebagai angkatan bersenjata paling berpengaruh di Iran dengan anggaran 190,000 anggota aktif meliputi operasi darat, udara dan laut, selain mengawal program senjata strategik. - Gambar fail Reuters
KESATUAN Eropah (EU) secara rasmi memasukkan Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) ke dalam senarai organisasi pengganas, sebagai respons terhadap tindakan keras berdarah pihak keselamatan terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata, penindasan sedemikian “tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan,” sambil menegaskan bahawa langkah itu meletakkan IRGC - salah satu kuasa ketenteraan, ekonomi dan politik terbesar Iran - setaraf dengan kumpulan jihad seperti al-Qaeda dan ISIS.
Namun Iran melalui Menteri Luar, Abbas Araghchi, mengecam keputusan itu sebagai “gimik” dan “kesilapan strategik besar.”
Menurut kumpulan hak asasi manusia, ribuan penunjuk perasaan dipercayai terbunuh dalam tempoh protes sepanjang Disember dan Januari, dengan IRGC antara pihak yang didakwa terlibat.
Bercakap di Brussels pada Khamis, Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot menyifatkan kekerasan terhadap penunjuk perasaan itu sebagai “penindasan paling ganas dalam sejarah moden Iran”, sambil menegaskan bahawa tidak boleh ada sebarang imuniti terhadap mereka yang melakukan jenayah.
Perancis pada mulanya dilihat keberatan memasukkan IRGC ke dalam senarai pengganas EU kerana bimbang langkah itu menamatkan hubungan diplomatik dengan Iran.
Namun, negara itu mengubah pendirian pada Rabu dan memberi sokongan penuh kepada usaha menyenaraihitamkan IRGC, sebuah inisiatif yang diterajui Itali.
Kallas turut menegaskan, saluran diplomatik EU-Iran dijangka kekal terbuka walaupun selepas penyenaraian tersebut.
EU turut mengenakan sekatan tambahan melibatkan enam entiti serta 15 individu Iran, termasuk Menteri Dalam Negeri Eskandar Momeni, Peguam Negara Mohammad Movahedi Azad dan hakim kanan Iman Afshari.
EU menyatakan bahawa kesemua mereka terlibat dalam penindasan ganas terhadap protes aman serta penahanan sewenang-wenangnya terhadap aktivis politik dan pembela hak asasi manusia.
Mana-mana organisasi yang disenaraikan sebagai pengganas akan dikenakan sekatan termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset, bertujuan menamatkan rangkaian sokongan mereka.
Peranan IRGC
Ditubuhkan selepas Revolusi 1979, IRGC berkembang sebagai angkatan bersenjata paling berpengaruh di Iran dengan anggaran 190,000 anggota aktif meliputi operasi darat, udara dan laut, selain mengawal program senjata strategik.
IRGC turut memperluas pengaruhnya ke luar negara melalui bantuan dana, senjata, teknologi dan khidmat penasihat kepada kerajaan serta kumpulan bersenjata sekutu. Di dalam negara, mereka mengawal Pasukan Tahanan Basij - pasukan paramiliter besar yang sering digunakan untuk menyuraikan protes dan menekan suara penentangan.
Australia, Kanada dan Amerika Syarikat telah mengisytiharkan IRGC sebagai kumpulan pengganas lebih awal, namun United Kingdom (UK) belum mengambil langkah sama.
Timbalan Perdana Menteri UK, David Lammy, mengecam penindasan “kejam” terhadap penunjuk perasaan aman di Iran tetapi menegaskan dasar kerajaan tidak membenarkan komen mengenai organisasi yang sedang dipertimbangkan untuk pengharaman.
Pengumuman EU itu hadir selepas Presiden AS, Donald Trump mendakwa sebuah “armada besar” sedang bergerak ke arah Iran dengan “kuasa dan tujuan,” sambil memberi amaran bahawa masa untuk Iran berunding mengenai program nuklearnya “semakin suntuk.”
Trump juga mengancam serangan yang “jauh lebih dahsyat” berbanding serangan AS ke atas Iran tahun lalu sekiranya tiada persetujuan dicapai.
Dalam respons tegas, Menteri Luar Iran menyatakan bahawa angkatan bersenjata negara itu berada dalam keadaan “siap sedia penuh” dan bersedia bertindak balas “serta-merta dan dengan kuasa sepenuhnya” terhadap sebarang pencerobohan.
Beliau menuduh Eropah “menyimbah minyak ke api” dalam keadaan semakin hampir kepada konflik besar-besaran di rantau itu. - Agensi
Topic Berkaitan
#IRGC
#Kesatuan Eropah
#EU
#organisasi pengganas
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan