Kerajaan tidak memaksa para atlet wanita untuk mengenakan pakaian patuh syariah, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan terbuka mengalu-alukan semua pihak untuk memberi nasihat kepada atlet berhubung perkara tersebut.

"Menjawab pertanyaan khususnya dari segi patuh syariah, pendirian rasmi kerajaan kalau ada mana-mana pihak ingin menasihati itu tidak ada masalah, tetapi untuk memaksa atlet-atlet kita untuk memakai mengikut syariah itu terletak di tangan mereka.

"Proses menasihat kita terbuka kepada semua," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memperkenalkan kepada atlet wanita pakaian patuh syariah.

Tambah Syed Saddiq lagi, kerajaan kini tidak lagi memusatkan kuasa hanya di bawah Majlis Sukan Negara.

"Sekarang ia dikembalikan semula di peringkat negeri, juga di Terengganu dan Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan masing-masing," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Terengganu telah memperkenalkan kod pakaian patuh syariah di mana mulai tahun depan para pemain bola sepak yang mewakili negeri itu dalam pelbagai pasukan akan mengenakan pakaian menutup aurat selaras dengan pelaksanaan pematuhan syariah dalam berpakaian.