SPORTS
Pakistan beri jaminan sertai Kejohanan Piala Negara-Negara 2024/2025

Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Pakistan memberi komitmen penuh apabila menghantar senarai rasmi pemain, walaupun jadual penerbangan masih belum dimuktamadkan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pakistan mengesahkan penyertaan ke Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2024/2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 15 hingga 21 Jun ini, sekali gus menepis kebimbangan mengenai ketidakhadiran mereka.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Pakistan memberi komitmen penuh apabila menghantar senarai rasmi pemain, walaupun jadual penerbangan masih belum dimuktamadkan.
"Kita telah menerima senarai pemain rasmi daripada pasukan Pakistan, cuma waktu penerbangan mereka sahaja yang belum dimuktamadkan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Subahan, penyertaan Pakistan membuktikan kesungguhan negara itu untuk bersaing, biarpun berdepan cabaran keselamatan dan logistik."Kehadiran mereka bukan sahaja akan memeriahkan kejohanan, malah meningkatkan tahap persaingan," katanya.
Lapan pasukan akan bertanding dalam edisi ketiga kejohanan itu, antaranya Malaysia selaku tuan rumah, Afrika Selatan, Jepun, Korea Selatan, juara bertahan New Zealand, Perancis, Wales dan Pakistan.
Malaysia sebelum ini menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2022 dan ketujuh pada musim 2023/2024.
Juara kejohanan akan layak beraksi di Liga Profesional 2025-2026, yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia.
Untuk rekod, Pakistan sebelum ini menarik diri daripada Piala Asia Sepak Takraw 2025 awal bulan ini atas faktor keselamatan selepas menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan susulan ketegangan antara India dan Pakistan.
Tindakan ketenteraan India tercetus susulan serangan oleh kumpulan bersenjata yang mengorbankan 26 pelancong India di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, April lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami