Pertarungan hebat dijangka tatkala Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Singapura dan Korea dalam aksi ISTAF SuperSeries Finals 2014/15 THAILAND yang akan berlangsung dari 20-23 Oktober di Gimnasium Perbandaran Nakhom Pathom berhampiran Bangkok.

Skuad kebangsaan bimbingan Abdul Ahmad Talib mempunyai dendam untuk dilunas terhadap Singapura dan Korea, yang mana masing-masing memalukan Malaysia di ISTAF SuperSeries Korea April lalu.

Singapura mengaibkan Malaysia yang turun dengan reputasi gah selaku juara ISTAF SuperSeries Malaysia di peringkat kumpulan 22-20, 21-17 – kemenangan pertama mereka dalam tempoh 20 tahun ke atas regu negara sejak Sukan SEA Chiangmai 1995 tatkala Korea pula cemerlang di arena mereka dengan menyingkirkan Malaysia di peringkat separuh akhir.

Aksi Kumpulan B akan turut disertai pasukan meningkat naik, Jepun.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak pada SuperSeries Finals 2011/12 dan 2013/14 dengan pingat gangsa menjadi milik Korea dan Jepun masing-masing.

Dalam pada itu, juara keseluruhan dua kali, Thailand akan mengetuai cabaran dalam saingan lapan pasukan kategori lelaki yang akan menentukan siapakah bakal muncul juara keseluruhan. Tampil memberikan cabaran kepada skuad serba mantap Thailand kali ini di undi dalam Kumpulan A bersama Myanmar serta pendatang baru, Filipina dan India.

India dan Filipina tampil sebagai pengganti kepada Indonesia dan China yang beraksi dalam tiga sirkit terakhir ISTAF SuperSeries 2014/15 yang berlangsung di bandar Nay Pi Taw (Myanmar), Melaka (Malaysia) dan Wolmyeong Arena di Gunsan City (Korea Selatan).

Persembahan paling dominan India adalah ketika menjadi tuan rumah ISTAF SuperSeries 2013/14 INDIA di Kompleks Sukan Indira Gandhi di New Delhi apabila mereka bangkit dari ambang kekalahan untuk menewaskan Singapura 3-2 dalam apa yang boleh disifatkan sebagai antara perlawanan paling dikenang dalam sejarah SuperSeries.

Dalam aksi enam pasukan kategori wanita, Vietnam, Jepun dan Korea diundi di dalam Kumpulan A. Juara bertahan Thailand pula diundi bersama-sama Malaysia dan Myanmar dalam Kumpulan B.

Undian dikendalikan secara bersama oleh Setiausaha Agung ISTAF, Dato’ Abdul Halim Kader, Setiausaha Agung Persatuan Takraw Thailand (TSA) Tanawat Prasongcharoen, Bendahari TSA Boonchai Lorhpipat, dan Pengurus Besar merangkap Ketua Perniagaan Asia Sports Ventures (ASV), Nishant Sehgal.

Pertandingan ISTAF SuperSeries diilhamkan oleh ASV yang berpangkalan di Singapura, rakan komersial dan pembangunan rasmi Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa.

Datuk Abdul Halim Kader berkata: “Pada permulaan musim, sememangnya menjadi hasrat ISTAF untuk menjemput India beraksi di pertandingan ISTAF SuperSeries 2014/15.

"Oleh kerana melihat China berpotensi untuk berkembang, ISTAF memberi mereka peluang yang luas untuk pendedahan antarabangsa pada sirkit awal pertandingan ISTAF SuperSeries 2014/15.”

“Kini tiba masanya untuk India melangkah ke pentas antarabangsa dengan beraksi di ISTAF SuperSeries Finals 2014/15 THAILAND.

Melihat kepada pencapaian terbaru mereka muncul naib juara di belakang Malaysia di Terbuka Perancis, kita boleh menjangkakan perseteruan yang hebat di antara pasukan yang bertanding di pusingan akhir di wilayah Nakhon Pathom,” tambah Abdul Halim.

Beliau mengesahkan bahawa Indonesia telah memohon untuk tidak mengambil bahagian berikutan komitmen terhadap kejohanan domestik yang mana pasukan kebangsaan mereka akan mengambil bahagian pada tarikh yang telah ditetapkan untuk pertarungan akhir.

Lorhpipat dari Persatuan Takraw Thailand, yang juga merupakan timbalan presiden badan induk antarabangsa, berkata, “saya ingin merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa kerana memberi kami penghormatan untuk menjadi tuan rumah ISTAF SuperSeries 2014/2015 THAILAND.”

“Kami benar-benar berharap bahawa siri ini akan menjadi penanda aras yang menjadi ikutan buat negara tuan rumah yang akan datang. Dengan kesemua pasukan yang mengambil bahagian bersedia untuk turun beraksi, kami berjanji memudahkan dan memastikan pengalaman yang cukup hebat untuk dikenang baik pemain, mahupun peminat,” tambahnya.

Sementara itu, Sehgal menambah bahawa kejohanan SuperSeries adalah langkah yang dialu-alukan di ASV dan merupakan usaha berterusan ISTAF untuk mengembang dan membangunkan lagi sukan tradisi ini di pentas antarabangsa.

“Platform SuperSeries sedang berkembang di setiap sudut, dari tahun ke tahun dan dari satu pertandingan ke pertandingan lain,” ujar Sehgal.

“Format baru memperkenalkan ISTAF SuperSeries telah membawa kepada kejayaan yang besar. Ia diwujudkan semata-mata untuk memenuhi permintaan dari peminat seluruh dunia yang mahu menyaksikan perlawanan seimbang dan pasukan yang sama hebat.”

UNDIAN – Lelaki Kumpulan A: Thailand, Filipina, India dan Myanmar.
Kumpulan B – Malaysia, Jepun, Singapura dan Korea.

Wanita Kumpulan A – Vietnam, Jepun dan Korea.
Kumpulan B – Thailand, Malaysia dan Myanmar.