Kejohanan Ping Pong Malaysia kali ke-53 dari 15-18 Dis depan, adalah pentas terbaik untuk pemain muda berbakat mencari tiket bagi diserapkan dalam skuad kebangsaan menghadapi Sukan SEA 2017.

Mereka perlu menampilkan aksi cemerlang untuk meyakinkan Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sepanjang kejohanan yang dilangsungkan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu.

Setiausaha Kehormat TTAM, Chan Foong Keong berkata kejohanan empat hari itu menjadi medan untuk persatuan tersebut mengenal pasti bakat baru sebelum membuat pemilihan terakhir bagi skuad Sukan SEA.

"Kami sudah mengenal pasti beberapa pemain yang mampu memberikan keputusan yang baik di Sukan SEA nanti. Bagaimanapun, jika jawatankuasa itu dapat mencari bakat lain yang memberikan aksi lebih baik serta menepati kriteria ditetapkan, mereka pasti akan dipilih.

"Selepas itu, kami akan mengadakan sesi pertandingan dalaman bagi memilih wakil yang akan beraksi di Sukan SEA nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis undian acara berpasukan bagi kejohanan tersebut di Bukit Jalil, di sini.

Bagi kategori wanita, pemain muda Amanda Wong Ee Ling, 17, dan Alice Chang Li Sian, 16, dijangka memberi saingan kepada pemain senior termasuk atlet veteran, Ng Sock Khim, 32, Lee Rou You, 22, dan Ho Ying, 21, untuk tiket ke Sukan SEA.

Juara kebangsaan, Muhamad Ashraf Haiqal, pemain veteran, Mohd Shakirin Ibrahim dan pemain muda, Leong Chee Feng, 18, dan Wong Jun Quan pula menjadi pilihan bagi kategori lelaki untuk skuad ke sukan dwitahunan itu.

Pada Sukan SEA 2015, Malaysia hanya berjaya mengutip pingat perak menerusi Sock Khim dalam acara perseorangan wanita dan tiga gangsa, masing-masing dalam acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan beregu wanita.

Chan berkata pemain negara akan menjalani latihan di China dalam usaha menyediakan skuad yang lebih mantap bagi Sukan SEA yang akan dianjurkan Malaysia.

"Ketika ini, skuad lelaki negara sudah berada di China manakala pasukan wanita yang kini menjalani proses pemulihan akan menyertai mereka kemudian.

"Kami juga mahu menghantar mereka menjalani latihan lebih lama di luar negara bagi meningkatkan permainan mereka," katanya.

Sementara itu, dalam undian hari ini, juara bertahan kategori lelaki, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diundi dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur dan Sabah, manakala penyandang juara kategori wanita, Johor diletakkan bersama Putrajaya dan Negeri Sembilan dalam Kumpulan A.

"Dua pasukan teratas daripada empat kumpulan akan layak ke suku akhir. Undian bagi lima acara lain iaitu perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran akan diadakan selepas mesyuarat pengurus pasukan bagi mengelakkan pemain menarik diri pada saat akhir," katanya. - BERNAMA