KUALA LUMPUR: Aksi Liga Premier melibatkan Kuching City FC (KCFC) dan Sarawak United FC (SUFC) pada malam ini dan esok terpaksa ditunda ke tarikh lain susulan beberapa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan didapati positif COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata ujian RT-PCR ke atas pemain dan pegawai kedua-dua pasukan mendapati beberapa pemain dan pegawai terbabit dikesan positif.

"Seorang pemain SUFC telah didapati positif COVID-19 setelah 14 pegawai dan 22 pemain SUFC menjalani saringan RT-PCR pada Khamis lepas sebelum perjalanan ke Sarawak.

"Situasi yang sama dialami KCFC, tiga pegawai dan tiga pemainnya telah didapati positif COVID-19 setelah semua pegawai dan pemain menjalani saringan RTK pagi tadi sebelum menjalani saringan RT-PCR kedua untuk pengesahan. Mereka yang bebas COVID-19 dan juga dijangkiti telah dikuarantin," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengikut jadual asal, KCFC akan menanti kunjungan TFC II di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak petang ini manakala SUFC berdepan Perak FC II malam esok di venue yang sama.

Beliau berkata tarikh baharu perlawanan akan dimaklumkan kelak, dan berharap supaya semua pemain dan pegawai pasukan terus meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard bagi menjaga gelembung sukan demi kelancaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Tiga perlawanan terpaksa ditunda minggu ini termasuk aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman FC dengan Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah yang dijadual malam ini selepas dua pemain tuan rumah disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR pasukan.

-- BERNAMA