Pemilihan FAM: Tengku Abdullah sambut baik usaha Annuar Musa tarik diri

Bernama
Mac 25, 2017 00:45 MYT
Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) bersama peserta terbaik keseluruhan Mohd Azuan Daud ketika hadir menyaksikan Pertandingan Tomoi Pantai Timur merebut Piala Tengku Mahkota Pahang malam tadi. - BERNAMA
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik tindakan Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada bertanding pemilihan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Titahnya tindakan Annuar yang memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui FAM dilihat dapat memudahkan lagi usaha memajukan bola sepak negara pada masa depan.
"Baguslah... itu lebih senang, tak payah bertanding-tanding lagi. Harapan saya agar mutu bola sepak dapat ditingkatkan secara keseluruhan dan semua yang terlibat akan membantu," titahnya.
Tengku Abdullah yang juga bekas Presiden FAM bertitah demikian selepas mencemar duli merasmikan penutup Kejohanan Tomoi Pantai Timur Piala Tengku Mahkota Pahang di Bukit Goh, di sini malam tadi.
Annuar yang juga Penasihat Bola Sepak Kelantan mengumumkan penarikan diri daripada pemilihan presiden FAM pada Khamis lepas dan menegaskan keputusannya itu diambil tanpa desakan sesiapa.
BACA: Annuar Musa tarik diri pemilihan Presiden FAM, umum TMJ menang tanpa bertanding
Annuar dilapor berkata pendekatan itu juga mampu mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan dalam keluarga besar bola negara.
Penarikan diri Annuar secara langsung menjadikan Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul satu-satunya calon bagi jawatan berkenaan.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Pemangku Raja Pahang #Presiden FAM #Tengku Abdullah #TMJ