Peminat bola sepak berang tiket final Piala Dunia cecah RM17,144

Pendedahan mengenai skala harga tiket PMA ini telah mencetuskan kemarahan kumpulan penyokong di seluruh dunia. - Gambar fail/Agensi via Stadium Astro
PEMINAT bola sepak dunia meluahkan rasa berang dan menuduh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan pengkhianatan besar selepas terdedah bahawa tiket paling murah untuk aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2026 berharga mencecah 3,120 pound (kira-kira RM17,144).
Ringkasan AI
- Tiket perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang dijual melalui Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berharga sehingga 3,120 pound (RM17,144) bagi tempat duduk kategori 'nilai', mengejutkan peminat bola sepak dengan kos yang tinggi.
- Penyokong England terpaksa mengeluarkan sekurang-kurangnya 200 pound (RM1,098) untuk menyaksikan perlawanan pembukaan kumpulan mereka menentang Croatia, yang menandakan harga tiket yang mencabar.
- Football Supporters Europe (FSE) dan kumpulan penyokong England, Free Lions, mengecam FIFA atas harga tiket yang melampau dan mendesak agar jualan tiket peruntukan ahli peserta dihentikan serta-merta untuk kaji semula harga tiket.
Bagi tiket kategori 'standard', harganya mencecah 373 pound (RM2,049), manakala tiket 'premier' pula diletakkan pada harga yang tidak masuk akal iaitu 523 pound (RM2,868) hanya untuk satu perlawanan peringkat kumpulan.
Angka-angka ini adalah untuk tiket yang dibeli melalui 'peruntukan ahli peserta' (PMA), atau dengan kata lain penyokong yang mendapatkan tiket menerusi kelab penyokong rasmi.
Pendedahan mengenai skala harga tiket PMA ini telah mencetuskan kemarahan kumpulan penyokong di seluruh dunia.
Badan penyokong, Football Supporters Europe (FSE) mendedahkan bahawa berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, peminat perlu membelanjakan lebih 6,000 pound (RM32,969) untuk menghadiri setiap perlawanan dari aksi pertama hingga ke final melalui peruntukan PMA.
Jumlah ini adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding kos yang perlu dibayar ketika Piala Dunia Qatar 2022.
"FSE terkejut dengan harga tiket melampau yang dikenakan oleh FIFA ke atas penyokong paling setia untuk Piala Dunia tahun depan.
"Ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap tradisi Piala Dunia, malah ia mengenepikan sumbangan penyokong yang memeriahkan sukan ini," menurut kenyataan tegas badan tersebut.
FSE turut mendesak FIFA supaya menghentikan jualan tiket PMA serta-merta dan mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terjejas untuk mengkaji semula harga tiket.
Kumpulan penyokong England, Free Lions menerusi hantaran di laman X menyokong kenyataan FSE dan menyifatkan harga tersebut sebagai mengejutkan dan jauh lebih tinggi daripada jangkaan. -- Sinar Harian


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

