THOMAS Tuchel mendedahkan bahawa dia pernah menjadi penyokong Spurs pada zaman kanak-kanaknya tetapi menegaskan bahawa hanya Chelsea berada dalam pemikirannya ketika ini.

Pengurus baru skuad The Blues itu diperkenalkan secara rasmi semalam selepas mengambil alih pasukan itu daripada Frank Lampard.

Tuchel dibesarkan di Krumbach, bandar Bavaria sekitar era 1970an dan 80an, ketika sukan bola sepak di televisyen hampir tidak dapat disaksikan dan dia menjelaskan mengenai kenaifan zaman kanak-kanaknya di mana dia pernah menyokong Tottenham.

Dengan perseteruan tradisi di antara Tottenham dan Chelsea, ia bermakna Tuchel tidak boleh mempunyai kesetiaan berbelah-bahagi dan dia mengakui pernah mengidolakan beberapa bintang Spurs satu ketika dahulu.

"Ketika saya masih muda, tiada siaran langsung perlawanan harian di TV dan tiada siaran langsung harian perlawanan Bundesliga.

"Saya hanya dapat menonton perlawanan selama satu atau dua minit setiap empat minggu dan secara tiba-tiba kelab seperti Tottenham Hotspur ditayangkan penyiar sukan kami sekali setiap empat minggu.

"Secara tiba-tiba saya mendengar nama Tottenham Hotspur, yang kedengaran seperti pengembaraan yang besar dan memberikan saya banyak kelebihan ketika bermain dengan kawan-kawan saya kerana mereka tidak tahu dari mana asal kelab itu," katanya.

Tuchel menambah dengan gurauan: "Saya masih muda, saya memerlukan wang!

"Tidaklah, saya masih muda tetapi itu adalah pengalaman pertama saya. Saya tidak tahu ia adalah kelab dari London.

"Kini saya benar-benar tahu bahawa saya bekerja dengan seteru terbesar mereka dan akan melakukan segala-galanya untuk menewaskan mereka minggu depan."

Kunjungan ke laman Tottenham pada 4 Februari ini akan menjadi ujian awal terbesar buat Tuchel memandangkan dia akan berdepan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho.