KUALA LUMPUR: Pembuat dan pemain gasing terkenal Rimy Azizi Abdul Karim antara penyokong yang hadir pada aksi pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dengan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Pendekar Gasing' dari Bukit Rambai, Melaka tampil berbeza apabila menggayakan busana pahlawan Melayu lengkap bertanjak sebagai simbolik memberikan semangat hulu balang kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon.

Lebih menarik, Rimy, 43, turut hadir menyaksikan pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Kyrgyzstan menundukkan Malaysia 1-0 ketika aksi persahabatan di Melaka pada 2018.

"Masa kita kalah pada 2018 saya pun ada di stadium dan juga memakai busana lengkap pahlawan Melayu, jadi saya mahu lihat Malaysia balas dendam kali ini. Saya harap pasukan negara dapat beraksi dengan baik, bukan senang nak main pada saingan kelayakan Piala Dunia.

"Saya memakai pakaian seperti ini (busana pahlawan Melayu) kerana mahu menterjemahkan semangat pejuang dalam memberikan sokongan. Pemain di atas padang ibarat pejuang," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Rimy turut membawa anak keduanya iaitu Adam Tuah, 11 yang juga merupakan pemain gasing bagi sama-sama menikmati perlawanan dan memberikan sokongan malam ini.

Sementara itu, penyokong muda Kyrgyzstan, Ersin Uraiymov, 18, mengakui teruja mengenai pertembungan malam ini kerana mahu merasai suasana perlawanan bola sepak di Stadium Nasional, selain menyifatkan rakyat Malaysia sangat peramah.

Tinjauan Bernama setakat 7 malam mendapati suasana di pekarangan Stadium Nasional kurang meriah seperti biasa apabila kehadiran penyokong ibarat suam-suam kuku, berbeza daripada perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan negara.

Setakat jam 6 petang tadi, sebanyak 15,385 tiket perlawanan antara Malaysia dan Kyrgyzstan sudah terjual.

Selepas dua perlawanan bulan ini termasuk menentang Taiwan di Taipei Selasa depan, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac sebelum melayan kunjungan pasukan itu lima hari kemudian (26 Mac) selain bertemu Kyrgyzstan di Bishek (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) di Malaysia.

-- BERNAMA