KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan insiden membabitkan pengadil Suhaizi Shukri dan pemain Selangor FC, Muhammad Fazly Mazlan pada suku akhir Piala FA hanya tindak balas spontan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, susulan insiden di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah Sabtu lepas itu, Suhaizi telah membuat permohonan maaf kepada FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan semua penyokong.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan Suhaizi kepada Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, insiden itu adalah tindak balas spontan beliau mengangkat kaki tanpa niat untuk menyepak Muhammad Fazly walaupun laporan dari segi foto dan video yang tular kelihatan seolah-olah beliau menyepak pemain itu.

"Pengadil perlawanan juga menegaskan bahawa beliau tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut, sebagai contoh, memberi kad kuning kedua kepada pemain itu kerana memijak kaki pengadil adalah kerana beliau anggap tindakan pemain itu tidak disengajakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Saifuddin berkata, Suhaizi, 43, adalah seorang pengadil yang cukup berpengalaman dengan pernah bergelar pengadil FIFA bermula 2011, selain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau melakukan kesilapan besar dalam aksi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Namun, katanya Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil tetap memberikan amaran keras kepada Suhaizi supaya tidak mengulangi sebarang tindakan sedemikian.

"Secara keseluruhan, beliau telah mengendalikan perlawanan Sabah FC dan Selangor FC ini dengan cukup baik dan kita tidak terima sebarang aduan atau bantahan daripada kedua-dua pasukan mengenai prestasi pengadil berkenaan," katanya.

Pada perlawanan itu, Selangor menang 2-0 sekali gus menempah tempat separuh akhir bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus pada 6 Ogos. - BERNAMA