Keputusan mengenai penganjuran Sukan Komanwel memerlukan perbincangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Sambil mengalu-alukan tawaran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang berhasrat untuk menawarkan negeri itu sebagai tuan rumah ur Sukan Komanwel 2026, Steven berkata aspek teknikal, kesiapsiagaan infrastruktur serta input dan penyertaan badan-badan sukan perlu diambil kira.

Beliau berkata dari segi pengalaman, Malaysia memang mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menganjurkan temasya besar seperti Sukan Komanwel selepas kejayaan edisi 1998 di Kuala Lumpur

"Kita sentiasa mengalu-alukan semua cadangan bertujuan untuk membangunkan sukan negara tetapi kita perlu melihat pada pelbagai aspek seperti kemampuan dan infrastruktur.

"Ia bukan keputusan satu pihak atau unilateral," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai cadangan Amirudin selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan eRacing Grand Prix Sea di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Steven percaya gabungan atau hibrid elemen e-sukan (sukan elektronik) dengan sukan sebenar bakal menjadi trend pada masa hadapan, di mana seseorang individu boleh bermula menerusi simulasi e-sukan untuk mempelajari teknik dan kemahiran sebelum menjadi atlet.

Dalam pada itu, Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin, 31, menepati ramalan untuk muncul juara edisi sulung eRacing Grand Prix SEA selepas mengatasi 14 pencabar lain dalam pusingan akhir yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Pusingan akhir yang menyaksikan perlumbaan di tujuh litar, termasuk Circuit De Barcelona, Autodromo De Interlagos, Autopolis dan Fuji International Circuit, Mior muncul juara selepas mengumpul 195 mata, manakala Muhammad Uzair Abdul Nasir dan Amir Haziq Amiruddin masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan kutipan 170 dan 122 mata.

Juara keseluruhan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, trofi, telefon bimbit Razer dan baucar bernilai RM100 dari JD Sport, sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM4,000 dan RM3,000 berserta sumbangan daripada Razer dan JD Sport. -- Bernama