Perlawanan separuh akhir kedua antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini tetap dilangsungkan dengan kehadiran penonton.

Pengerusi Pengelola Perlawanan berkenaan, Datuk Ahmad Fuad Daud berkata keputusan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Rabu.

Jelas Ahmad Fuad, ia adalah muktamad kecuali diputuskan berlainan oleh Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu.

"Masa amat singkat dan exco tidak boleh bermesyuarat kerana beberapa pegawai tertinggi FAM berada di luar negara untuk menghadiri Kongres FIFA. Dengan itu, perlawanan telah ditetapkan pada 1 Jun dengan kehadiran penonton." katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pengelolaan perlawanan separuh akhir kedua antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Khamis.

Ahmad Fuad yang juga Penolong Setiausaha Agung FAM mengulas mengenai cadangan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk pertemuan itu diadakan tanpa kehadiran penonton.

Baginda bertitah, ia bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku seperti kekecohan di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu yang kemudiannya terpaksa dibatalkan ekoran limpahan penyokong.

Sementara itu, Polis memberi jaminan terhadap keselamatan pada perlawanan Sabtu ini dengan kawalan ketat akan diberikan.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata pihaknya akan menyediakan anggota polis yang mencukupi pada perlawanan itu nanti.

Jelas Mohan, pemeriksaan ketat juga akan dibuat ke atas penonton yang mahu memasuki stadium bagi memastikan mereka tidak membawa barang terlarang.

"Kita minta penonton yang datang pada perlawanan itu nanti beri kerjasama sepenuhnya supaya perlawanan berjalan lancar." ujarnya.

Johor DT akan turun ke perlawanan dengan bekalan tipis selepas menang 1-0 pada aksi pertama di Larkin dan pemenang perlawanan itu akan menentang Kelantan di final, 29 Jun ini.