IPOH: Kerajaan negeri Perak berharap kemelut Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang telah berlarutan hampir dua tahun, dapat diselesaikan tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ia bagi membolehkan program pembangunan pemain, kejurulatihan dan kepengadilan dapat yang tertangguh, dapat diteruskan.

Beliau berharap jawatankuasa adhoc yang dipengerusikan bekas Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin supaya persatuan itu boleh bergerak seperti persatuan-persatuan sukan yang lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dimaklumkan mengenai tempoh masa yang diberikan kepada jawatankuasa tersebut untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Cuma saya mengharapkan ia  disegerakanlah, kalau boleh selesai dalam tahun ini, supaya proses perjalanan PAFA ini boleh berjalan seperti biasa dan sebarang permasalahan serta isu kita boleh selesaikan secara kolektif,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan lanjut selepas Kementerian Belia dan Sukan bersetuju menangguhkan pembatalan PAFA baru-baru ini.

Terdahulu, beliau memberitahu, jawatankuasa adhoc yang dipengerusikan Abdul Puhat dilantik untuk menguruskan proses perjalanan mesyuarat agung tahunan (AGM) sehingga terbentuk Jawatankuasa Eksekutif PAFA.

Katanya, pelantikan jawatankuasa itu di bawah kuasa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Persuruhjaya Sukan (PJS).

Menurutnya, jawatankuasa itu telah pun mengadakan mesyuarat mereka pada minggu lepas.

“Mereka sedang menjalankan kerja-kerja awalan untuk melihat kembali di mana kelompongan, di mana kelemahan untuk mengurus tadbir PAFA mengikut perlembagaan, peraturan dan tatakelola oleh PJS supaya proses perjalanan AGM nanti berjalan seperti apa yang dikehendaki dalam Perlembagaan PAFA,” ujarnya.

Beliau berharap agar semua persatuan sukan di Perak mematuhi perlembagaan masing-masing di samping peraturan yang ditetapkan PJS, terutamanya menyerahkan laporan tahunan atau maklumat yang kena beri (MYKB).

Pada 7 Mac 2022 PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.

PAFA yang telah berusia lebih 100 tahun adalah antara persatuan yang tertua di Perak.