Perak optimis tamatkan saingan Liga Super di tempat kedua

Bernama
Julai 15, 2018 02:58 MYT
MEHMET: Kita yakin dengan kemampuan pemain untuk mengekalkan kedudukan kedua liga walaupun adakalanya saya akui, kita berdepan masalah konsisten. - Astro ARENA / Fail
Pengendali Perak, Mehmet Durakovic optimis skuad kendaliannya mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kedua walaupun sekadar terikat 1-1 menentang Pahang di Stadium Perak, di sini malam tadi.
Beliau berkata walaupun gagal mengutip tiga mata penuh, kedudukan semasa Perak di tangga kedua liga masih kekal selepas pesaing terdekat, Terengganu tumpas 0-4 di tangan PKNS FC pada aksi sama di Stadium Shah Alam.
Katanya bagaimanapun masih ada tiga perlawanan yang perlu diharungi setiap pasukan dan hanya kemenangan menjadi penentu dalam mengukuhkan kedudukan dalam liga.
"Kita yakin dengan kemampuan pemain untuk mengekalkan kedudukan kedua liga walaupun adakalanya saya akui, kita berdepan masalah konsisten. Saya berjanji untuk tiga perlawanan selepas ini, kita akan bangkit mencipta kemenangan.
"Bagi perlawanan tadi (semalam), apa yang boleh saya rumuskan adalah ia satu keputusan yang adil selain kedua-dua pasukan berjaya memperagakan aksi berbalas serangan yang menghiburkan para penonton," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan, malam tadi.
Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 4,000 penonton itu, Perak dikejutkan Pahang pada minit ke-16 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha namun berselang sembilan minit, The Bos Gaurus berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain sayap, Mohamad Nor Hakim Hassan.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Kuala Lumpur 18 Jun depan, Mehmet berkata, Perak terpaksa melupakan khidmat bek kanan, Amirul Azhan Aznan yang mengalami kecederaan hamstring.
Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata persembahan cemerlang yang dipamerkan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias dan penyerang, Norshahrul Idlan membantu Pahang menafikan kemenangan Perak di laman sendiri.
"Kedua-dua mereka berada pada tahap terbaik pada ketika ini. Helmi umpamanya, berjaya menafikan dua atau tiga percubaan yang boleh menghasilkan gol manakala Norshahrul bukan sahaja mencetak nama selaku penjaring malah berjaya mencemaskan kubu Perak," katanya.
Dollah berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan aksi dipamerkan anak buahnya selepas beberapa tonggak utama seperti Mohamad Muslim Ahmad dan Patrick Cruz masih tidak dapat beraksi akibat dibelenggu kecederaan.
"Kita akui sukar tumbangkan Perak, lebih-lebih lagi di Ipoh. Jadi, saya rasa keputusan ini positif dan kita akan perbaiki kesilapan-kesilapan ini sekaligus menempatkan diri dikalangan pasukan terbaik dalam liga," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #Dollah Salleh #Liga Super #mehmet durakovic #Pahang #Perak