PHNOM PENH: Perenang Malaysia mencipta dua rekod baharu kebangsaan dalam perjalanan untuk merangkul pingat gangsa pada hari ketiga acara renang Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Nasional, Kompleks Sukan Morodok Techo, di sini, hari ini.

Perenang muda, Tan Khai Xin memulakan usaha mencipta rekod dalam acara 400 meter rampaian individu lelaki.

Bukan sahaja berpuas hati muncul pemenang pingat tunggal untuk kem renang negara, hari ini, tetapi beliau juga membuktikan kebolehannya dengan mencipta rekod kebangsaan dalam acara itu.

Khai Xin mencatat masa 4 minit 23.24 saat (s) untuk menggondol gangsa bagi pingat pertamanya di temasya dwitahunan itu dan memadam catatan masa sebelumnya 4:24.83s yang dicipta oleh Khiew Hoe Yean pada Kejohanan Sepanyol pada 2021.

Bercakap kepada media Malaysia, perenang berusia 19 tahun itu mengaku tidak pernah terfikir akan memecahkan rekod kebangsaan kerana hanya mengintai penamat podium di Kemboja selepas pulang dengan tangan kosong pada penampilan sulungnya di Hanoi pada 2021.

"Saya bekerja keras sepanjang tahun, saya percaya boleh melakukannya dan gembira dapat melakukannya (memenangi pingat)," katanya selepas majlis penyampaian pingat,

Hung Nguyen Tran mendahului Vietnam pada penamat satu-dua apabila dia meraih emas dalam masa 4:19.12s, dengan Quang Thuan Nguyen meraih perak dalam masa 4:21.03s.

Rekod kebangsaan kedua diperoleh daripada kuartet 4x100m rampaian berganti-ganti lelaki iaitu Hoe Yean, Andrew Goh Zheng Yen, Bryan Leong Xin Ren dan Arvin Shaun Singh Chahal.

Walaupun menduduki tempat kelima, mereka masih wajar diberi pujian selepas mencatat masa 3:42.12s untuk memecahkan rekod berusia enam tahun iaitu 3:45.07s yang dibuat oleh Tern Jian Han, Wong Fu Kang, Chan Jie dan Keith Lim Kit Sern di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Singapura menang pingat emas dengan catatan masa 3:37.45s, diikuti Thailand (3:41.75s) dan Indonesia (3:41.92s).

Jurulatih renang kebangsaan, Chris Martin, memuji usaha kuartet lelaki negara dalam mencipta rekod kebangsaan baharu.

"Ya, saya fikir mereka akan (memecahkan rekod kebangsaan sebelum ini)... ia adalah (suatu) saingan yang menarik dan sengit. Renangan sungguh berani oleh mereka," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, dua perenang wanita negara - Kelly Teo Yao dan Hooy Jia Yee - gagal memberi impak selepas masing-masing menduduki tempat keenam dan terakhir dalam acara 400m gaya bebas.

Teo Yao (4:32.15s) dan Jia Yee (4:37.55s) berada jauh daripada rentak apabila perenang Singapura, Ching Hwee Gan, mendominasi perlumbaan untuk menang dalam masa 4:15.17s, diikuti oleh rakan senegaranya, Ashley Yi-Xuan Lim (4:17.16 s) dan Kamonchanok Kwanmuang dari Thailand (4:21.79s).

-- BERNAMA