LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menjangkakan satu berita gembira akan diperoleh dalam tempoh dua hari selepas mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Permohonan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu melibatkan kebenaran untuk setiap pasukan Liga Malaysia mengadakan latihan berkumpulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjelang sepak mula liga pada 5 Mac ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, permohonan mereka itu kini sedang dipertimbangkan oleh MKN.

"Bagi pihak MFL, ia perlu seberapa segera yang boleh. Saya dimaklumkan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bahawa SOP (prosedur operasi standard) untuk Liga Malaysia sedang dibincangkan.

"Kami berharap agar keputusan itu dapat dimaklumkan esok atau lusa agar setiap pasukan boleh berlatih hujung minggu ini atau awal minggu depan.

"Sudah tentu ada SOP baru kerana indeks kes COVID-19 agak tinggi, jadi ia perlu diperketatkan berdasarkan saranan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya.