Penggiat bola sepak tanah air berpendapat bahawa pengumuman persaraan oleh bintang bola sepak terkenal dunia David Beckham pada hari Khamis tepat pada masanya.

“Pada usia 38 tahun, beliau masih boleh main dalam satu atau dua tahun lagi. Namun, lebih baik beliau bersara ketika beliau masih ada nama. Dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, prestasi beliau mungkin akan merosot, jadi lebih baik beliau bersara sekarang sebelum orang di sekeliling menyuruh beliau berundur,” kata penulis blog sukan Aiman Aminul.

Tambah Aiman, Beckham merupakan ikon bola sepak dan ini akan menjadi kehilangan besar kepada arena boleh sepak.

“Beliau antara pemain unik dan diantara pemain yang mempunyai skil hantaran dan hantaran lintang yang tepat. Beliau juga mempunyai kemahiran sepakan percuma terbaik,” tambah beliau.

Aiman berpendapat selepas ini Beckham boleh menjadi lebih daripada seorang jurulatih atau pengurus kelab bola sepak.

“Dengan populariti yang dimiliki, beliau boleh menjadi pemilik kelab bola sepak. Beliau juga layak menjadi duta England jika negara berkenaan ingin membida untuk menjadi tuan rumah temasya Piala Dunia kelak. Beliau begitu layak untuk membawa nama England di persada dunia,” tambah beliau.

Bekas pemain bola sepak negara Reduan Abdullah juga mempunyai pendapat yang sama.

“Nama David Beckham adalah satu jenama yang baik di atas dan luar gelanggang. Walaupun turut menjadi duta beberapa jenama, namun ia sama sekali tidak menjejaskan mutu permainan beliau. Ini kerana beliau begitu berdisiplin,” kata Reduan.

Akui beliau sudah banyak berjasa kepada England dan memberikan impak yang besar kepada arena bola sepak dunia, Reduan berpendapat sudah tiba masanya untuk Beckham bersara.

“Beliau bukan lagi pemain sepenuh masa, dan rasanya tidak perlu lagi untuk beliau mecari peluang untuk bermain sepenuh masa lagi. Jadi sudah sampai masanya untuk beliau bersara walaupun berkemampuan untuk bermain lagi,” tambah Reduan.

Pengacara Astro ARENA Hafizal Hamad turut berpendapat bahawa inilah masa yang tepat untuk Beckham bersara.

“Dari Manchester United, Real Madrid, Los Angeles Galaxy dan Paris Saint-Germain, beliau telah merasai kenikmatan untuk bergelar pemain profesional yang begitu unggul,” kata Hafizal.

Namun atas faktor usia, umur dan juga pesaingan dari pemain-peminan muda, Hafizal berpendapat lebih sesuai jika Beckham bersara.

“Beliau pernah mengalami kecederaan, pemulihan dan harus menyesuaikan diri kembali di gelanggang bola sepak dan ditambah pula dengan pemain-pemain muda, jadi tidak perlu untuk beliau terus bersaing,” kata beliau.

Yakin bahawa Beckham tetap akan berada di hati peminant, Hafizal ingin melihat Beckham sebagai jurulatih.

“Kerjaya ini dilihat sebagai pilihan yang tepat dan sinomin dengan Beckham.”