KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan telah menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United.

PFAM menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan berdasarkan laporan itu pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pasukan terbabit untuk tuntutan tunggakan pemain terlibat yang membuat aduan pada 16 Jun lepas.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa notis susulan telah diberikan kepada Sarawak United pada 8 Julai lepas.

"Walaupun telah menerima maklum balas daripada pihak pasukan bagi melunaskan tunggakan gaji tersebut namun sehingga kini, tunggakan masih belum dijelaskan sepenuhnya.

"Lebih mendukacitakan, pada Jun lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis bagi mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab berkenaan," menurut kenyataan itu.

Memetik kenyataan itu, PFAM menasihati agar pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus penuh dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman berat dikenakan terhadap pasukan itu.

"PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah pasukan besar yang berpangkalan di Borneo dan beraksi dalam Liga Malaysia berdepan masalah pembayaran gaji kepada para pemainnya.

Tiga pasukan Borneo yang ketika ini terlibat dalam pertandingan anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ialah Sarawak United dan Sabah FC bagi Liga Super manakala Kuching City FC pula bersaing di Liga Premier.

-- BERNAMA