KUALA LUMPUR: Tiga pemain, yang mana dua daripadanya merupakan pemain Malaysia yang terlibat dalam perlawanan pertama Piala AFF Suzuki 2021 menentang Kemboja esok, diidapati positif COVID-19.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengurus Pasukan Harimau Malaya, Datuk Wira Yusof Mahadi.

Beliau menjelaskan dua pemain pasukan Harimau Malaya itu adalah penyerang, Faisal Halim dan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Sementara, seorang lagi pemain adalah merupakan pemain Myanmar.

"Kedua-dua pemain ini masih tinggal di hotel yang sama, dikuarantinkan di bilik sendiri secara berasingan.

Mereka masih tinggal dalam hotel yang sama dengan pemain-pemain lain. Cuma mereka ini dikuarantinkan dan tidak boleh keluar dari bilik.

"Apabila pemain-pemain ini didapati positif, mereka perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan di sini. Mereka mengarahkan pemain-pemain ini melalui kuarantin 10 hari," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Mengulas berkenaan persediaan skuad negara dalam menghadapi perlawanan menentang Kemboja esok, katanya, aktiviti serta kelancaran program yang dirancang tidak akan terganggu dan berjalan seperti biasa.

"Selain daripada dua pemain ini yang dikuarantinkan, aktiviti kita selain itu tidak terganggu.

"Maknanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan kita untuk menjalani latihan seperti biasa.

"Program berjalan seperti biasa dan untuk perlawanan esok, dua pemain ini tidak boleh disenaraikan. Yang lain akan ditentukan esok.

Terdahulu, FAM mengesahkan dua pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.

Dua pemain berkenaan, Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak mempunyai gejala.


 
Sumber Facebook FAMalaysiaOfficial

"Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan dapat beraksi pada baki kejohanan ini.

"Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan," maklum Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.